Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Presiden MIC, mendiang Tun S. Samy Vellu sambil ditemani Menteri Sumber Manusia merangkap Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan di kediamannya di Taman Kaya Batu 3, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Tun S. Samy Vellu selain menyampaikan takziah kepada keluarga bekas Presiden MIC itu di sini hari ini.

Ketibaan Sultan Nazrin disambut Menteri Sumber Manusia merangkap Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Datuk Shahul Dawood.

Baginda menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang, Toh Puan Indrani Samy Velu yang duduk di kerusi kemudian bercakap kepada anak lelaki mendiang, Datuk Seri S. Vell Paari.

Baginda kemudian berkenan berangkat pulang selepas 15 minit.

Samy Vellu juga merupakan bekas Ahli Parlimen Sungai Siput dan lama berkhidmat sebagai wakil rakyat di Perak.

Sementara itu, ramai lagi pemimpin dan orang ramai turut hadir pagi ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan bekas Menteri Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan suaminya juga hadir bagi tujuan yang sama.

 

Menteri Kewangan, Tenku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama Menteri Sumber Manusia merangkap Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas Presiden MIC, mendiang Tun S. Samy Vellu di kediamannya di Taman Kaya Batu 3, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2022.

Juga hadir ialah Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, Pengerusi Pakatan Harapan Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan, Naib Ketua Wanita PKR, Sangetha Jayakumar, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin, Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri R. Thanenthiran.

Selain itu ramai juga kepimpinan MIC hadir malah sudah berada di kediaman mendiang sejak semalam termasuk Naib Presiden MIC, Datuk T. Mohan dan kepimpinan Pusat (CWC MIC).

MalaysiaGazette turut dimaklumkan komposer, penulis lirik dan lagenda muzik India Selatan, Vairamuthu akan hadir untuk memberikan penghormatan akhirnya pada pagi ini.

Majlis pengebumian dijangka sekitar pukul 3 petang ini. -MalaysiaGazette