Dr. Xavier Jayakumar. foto AFFAN FAUZI, 14 OKTOBER 2018
Dr. Xavier Jayakumar. foto AFFAN FAUZI, 14 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Kelantan, Pahang, Kedah dan Perak antara negeri di Semenanjung Malaysia yang mempunyai kadar pencemaran sungai paling tinggi akibat aktiviti pembalakan untuk tujuan pembukaan kawasan baharu.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, tiga negeri berkenaan penyumbang besar kepada kenaikan sungai tercemar sehingga 11 peratus sejak tahun lalu.

“Masalah sungai-sungai yang sanagt tercemar adalah di Kelantan, Pahang dan sedikit di Kedah.

“Ini semua ada kaitan dengan kekurangan hutan di kawasan ini dengan pembukaan kawasan-kawasan baharu pembalakan di negeri-negeri ini.

“Ini menunjukkan mereka tiada sistem pengurusan hutan bersepadu dan ia akan memberi kesan kepada sungai malah kita boleh lihat sekarang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia 2018 Peringkat Kebangsaan di Pejabat Lembangan Sungai Klang, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, di sini, hari ini.

Terdahulu Xavier dalam ucaptamanya berkata, peningkatan sungai tercemar disebabkan pembangunan yang semakin pesat dan kesedaran masyarakat masih rendah dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.

Katanya, antara punca utama pencemaran dan kerosakan sungai berkait rapat dengan sikap masyarakat yang masih menganggap sungai sebagai tapak pembuangan sampah.

Xavier juga berkata, walaupun Selangor dan Wilayah Persekutuan tidak mempunyai hutan untuk pembalakan, namun sikap masyarakat dan pihak industri membuang sisa-sisa menjadi faktor utama pencemaran sungai.

“Masalah di Selangor dan Wilayah ialah penduduk ramai yang belum ada kesedaran betapa pentingnya sungai dalam hidup kita,”

“Jangan layan sungai sebagai sampah di mana kita buang plastik dalam sungai, kita buang apa saja malah kedai-kedai makan dan kilang terus membuang sisa-sisa mereka ke dalam sungai.

“Kalau sikap ini kalau kita tidak tukar, apa sahaja kita belanja kita akan hadapi masalah besar dengan kebersihan sungai dalam negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette