PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang suri rumah dan anak angkatnya berusia tujuh bulan maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam lima meter di Bera, kira-kira 170 kilometer dari sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar 4.40 petang semasa hujan lebat dan angin kencang.

Mangsa yang maut ialah Siti Zulaikha Rasli, 32, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan Toyota Hilux dan Zaara Aisyah Abdul Rahim yang berada dalam pangkuan ibu angkatnya.

Kemalangan juga menyebabkan adik Siti Zulaikha, Mohamad Nur Rasyid, 26, yang memandu kenderaan itu cedera ringan manakala ibu mereka Anizah Maidin, 52, patah bahu kiri.

“Mangsa dipercayai dari rumah mereka di Felda Triang 1, Bera ke Temerloh semasa kenderaan dikatakan hilang kawalan semasa melalui selekoh menyebabkannya menggelongsor kira-kira 30 meter sebelum terjunam ke dalam gaung.

Mangsa dan anak angkatnya disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke  Klinik Kesihatan Bandar 32 di Bera,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA