Muhammad Syafiq Ahmad

KUALA LUMPUR – Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad belum puas dengan kemenangan 2-1 ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2019 sambil menyifatkan perlawanan kedua Sabtu ini akan berlangsung penuh dramatik.

Muhammad Syafiq menyifatkan kejayaan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lepas bukan mudah terutama apabila Selangor mudah dan pantas menyamakan kedudukan 1-1 sejurus beliau meledak gol pembukaan JDT pada minit ke-14.

Pemain kebangsaan berusia 24 tahun itu memberi bayangan jurang perbezaan gol yang sedikit antara kedua-dua pasukan akan menjadikan intensiti perlawanan di Stadium Shah Alam itu berada di tahap tertinggi.

“Kemenangan tempoh hari memang bukan mudah kerana apabila di peringkat separuh akhir semua pasukan yang layak sama kuat dan sukar untuk diatasi. Mereka (Selangor) sentiasa memberi tekanan kepada kami di setiap ruang tempoh hari, menyukarkan kami untuk kekal konsisten di atas padang.

“Sebab itu saya rasa persembahan kami masih belum cukup memuaskan, tetapi saya tetap nak ucapkan terima kasih kepada semua rakan sepasukan yang tidak berputus asa untuk memastikan kemenangan milik pasukan”, katanya seperti dipetik dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Kemenangan 2-1 itu bukan satu bekalan selesa buat anak buah Ketua Jurulatih Benjamin Mora untuk di bawa ke Stadium Shah Alam, apabila Selangor sebelum ini bangkit menewaskan juara bertahan, Perak 3-2 pada aksi suku akhir, bulan lepas.

Pada aksi di Larkin, Syafiq meletakkan juara edisi 2017 itu di hadapan, namun penyerang sensasi skuad Gergasi Merah Ifedayo Olusegun menyamakan kedudukan tiga minit kemudian sebelum Leandro Velazquez menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-49.

JDT mencatat kemenangan dalam semua aksi berdepan Selangor musim ini termasuk kejayaan 3-2 dan 4-2 dalam dua aksi Liga Super dan rekod itu menjadi motivasi terbaik buat barisan pemain Mora dalam usaha melangkah ke pentas final Piala Malaysia. – Bernama