Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR – Pemimpin Perikatan Nasional (PN) didakwa sedang cuba untuk menggagalkan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang disertai oleh parti-parti Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan parti dari Sabah dan Sarawak.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, pemimpin kerajaan tidak seharusnya termakan ‘umpan’ yang ditebarkan oleh PN.

“Sejak Yang di-Pertuan Agong melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, PN telah mengeluarkan pelbagai kenyataan untuk provoke respon daripada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Mereka sedang kerja kuat untuk gagalkan kerajaan ini. Saya fikir, kita jangan termakan umpan mereka,” ciap wakil rakyat DAP itu di Twitter.

Menurut Syahredzan, pemimpin Kerajaan Perpaduan tidak perlu membuat kenyataan balas terhadap kata-kata yang dilemparkan oleh pemimpin PN.

Sebaliknya mereka boleh melakukan tindak balas antaranya dengan membuat laporan polis.

Beliau mengingatkan pemimpin terbabit agar tidak membuat tindakan tergesa-gesa sehinggalah kerajaan yang ingin didirikan stabil.

“Jangan termakan provokasi tapi tak bermakna kita jangan buat apa-apa dan biarkan. Tapi pemimpin tak perlu buat kenyataan balas.

“Laporan polis, saman fitnah, lawan naratif sebagainya perlu berjalan. Tapi pemimpin jangan cepat melatah sampailah kita betul stabil,” katanya.

Beliau mengulas ciapan beberapa pengikutnya di Twitter berhubung beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin PN yang antaranya dilihat menyerang DAP.

Terbaharu kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia dengan memfitnah parti Islam itu. – MalaysiaGazette