IPOH – Dua buah syarikat didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana kegagalan menjaga keselamatan di tempat kerja sehingga menyebabkan kecederaan dua pekerjanya pada tahun lalu.

Media melaporkan, kedua-dua syarikat berkenaan, Syarikat Hume Cemboard Industries Sdn. Bhd. diwakili pengurus besarnya, K. Muralitharan dan Tan Chee Seng Sawmill Sdn. Bhd. diwakili pengarah, Tan Taik Chin mengaku salah terhadap tuduhan tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Syarikat Hume Cemboard Industries didakwa gagal memasang pengadang pada bahagian pemacu gegancu serta rantai motor yang berada di bawah conveyor, pada bahagian outlet ‘DET’ line P2.

Kecuaian ini telah menyebabkan kemalangan kepada pekerja syarikat itu, P. Devan yang berusia 20 tahun ketika itu.

Sebuah lagi syarikat, Tan Chee Seng Sawmill Sdn. Bhd., didakwa gagal memasang pengadang pada bahagian pemacu gegancu dan rantai di inlet roller mesin veneer clipper sehingga menyebabkan kemalangan kepada Ahzi Aznam juga berusia 20 tahun.

Dalam kemalangan tersebut, Devan mengalami kecederaan serius pada jari kaki kiri manakala Ahzi pada jari manis serta kelingking tangan kanan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKKP, Norissham Ishak itu dijalankan mengikut Seksyen 15 Akta Kilang dan Jentera 1967.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 51(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim Norashima Khalid kemudian menjatuhkan hukuman denda RM25,000 atau tiga bulan penjara kepada kedua-dua syarikat berkenaan. -MalaysiaGazette