Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail

PETALING JAYA – PKR perlu mengambil kira semua pandangan sebelum menerima sepenuhnya keputusan Muktamar Pas yang mahu memutuskan tahaluf siyasi antara parti Islam itu dengan PKR.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, sehingga kini, PKR masih menunggu perkembangan semasa Majlis Syura Ulama Pas untuk mempertimbangkan keputusan Muktamar Pas berkenaan.

“Belum lagi diputuskan, sebab Pas ada struktur dia, Majlis Syura belum putuskan.

“Memang ada mesyuarat antara kami, dan kita melihat senario politik paling baik kerana kita menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan, di sini, hari ini.

Khamis lalu, Muktamar Dewan Pemuda Pas meluluskan tanpa bahas usul supaya parti Islam itu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dan sebelum ini, parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu juga memutuskan hubungan dengan DAP.

Usul berkenaan yang dibawa oleh Dewan Pemuda Pas Terengganu tidak menerima sebarang bantahan daripada perwakilan yang menghadiri Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Pusat kali ke-58 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Kedah. – MalaysiaGazette