Pihak berkuasa memeriksa pemandu kenderaan berat dalam Ops Perdagangan di Johor Bahru awal pagi ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 15 pemandu kenderaan berat ditahan dan 13 daripadanya didapati memandu di bawah pengaruh dadah dalam Op Perdagangan Kontinjen Johor yang dijalankan di seluruh negeri itu awal pagi ini.

Dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Johor sejak 12 tengah malam tadi hingga pukul 8 pagi hari ini turut menahan dua pemandu lori yang merupakan orang dikehendaki polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua 15 suspek yang ditahan berusia lingkungan 22 hingga 48 tahun.

Dua daripadanya adalah individu yang dikehendaki setelah terlibat dalam kes yang disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sementara itu, 13 individu lain yang ditahan didapati positif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, dalam operasi sama, sebanyak 730 kenderaan perdagangan diperiksa dengan 210 keping saman Pol.257 dikeluarkan.

Beliau berkata, dalam operasi itu, turut dikesan sebuah lori perdagangan yang membawa lebih muatan sebanyak 35 peratus.

“Op Perdagangan dijalankan seluruh negeri ini bagi mengambil tindakan tegas terhadap semua pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan yang masih tegar dan ingkar untuk patuh peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

“Fokus utama operasi ini adalah untuk menyelesaikan isu awam yang sering diterima berdasarkan aduan awam dan viral di media sosial berkaitan kenderaan perdagangan,” katanya.

Tambahnya, operasi yang sama akan dilaksanakan secara berterusan dengan konsep penguatkuasaan bersepadu oleh JSPT Johor bersama jabatan dan agensi penguat kuasa lain.

Ia bagi memastikan pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Tiada istilah pilih kasih  dalam penguatkuasaan undang-undang kerana ia dicipta untuk dipatuhi bukan untuk dicabuli oleh sesetengah pihak yang rakus dan tamak,” kata Kamarul Zaman. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. 13 dari 15, tinggi tu peratusan. Boleh tak kita bayangkan pengedaran dadah telah bertambah skyrocketing setelah pemansuhan hukuman mati didalam undang2?

    Kepada menteri, kenapa nak ikut sangat telunjuk dan arahan dari pejabat dajjal di NY sana?

Comments are closed.