Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Salak hari ini dilarang daripada hadir ke mesyuarat Dewan Rakyat selama 4 hari.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mengarahkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman keluar dewan semasa sesi pertanyaan lisan sedang berlangsung.

Kekecohan tercetus ketika Tajuddin hendak mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pertanian, Sim Tze Tzin.

Tajuddin yang tidak berpuas hati mempersoalkan kenapa Menteri Pertanian, Datuk Salahuddin Ayub tidak menjawab soalan keenam dan melarikan diri tetapi timbalannya pula mengambil tanggungjawab itu.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Pertanian menjelaskan menterinya tidak melarikan diri, sebaliknya beliau ada urusan penting lain sebelum Taijuddin bertanya apakah urusan penting itu menyebabkan Ahli Parlimen lain mula meluahkan rasa tak puas hati mereka.

Nga Kor Ming kemudian beberapa kali meminta Tajuddin mengemukakan soalan tambahannya namun beliau terus mempersoalkan megapa Salahuddin tidak jawab soalannya.

Kor Ming mendakwa, Taijuddin sengaja mengundang kekecohan apabila tidak mahu mengemukakan soalan tambahan dan Tze Tzin telah menjawab soalan asal mengenai pertanian kontan.

Nga Kor Ming: Pasir Salak sila kemukakan soalan kedua anda.

Tajuddin: “Tak boleh (tanya soalan), apa mengundang kekecohan (memandang ke arah Kor Ming), menteri ada di sini kenapa dia tak jawab, Speaker jangan sombong.

Nga Kor Ming: Lihatlah, inilah sikap yang tidak bertanggungjawab yang menghina majlis dan inilah teladan buruk yang jangan kita pelajari. Rakyat akan menilai sikapnya tidak pernah ubah sedemikian. Keburukan inilah yang sebenarnya menjatuhkan imej dewan yang mulia ini.

Sejurus selepas itu, Kor Ming meminta Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. R. Santhara Kumar untuk soalan kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Taijuddin mencelah sekali lagi dengan mengatakan beliau tetap mahu mengemukakan soalan tambahan keduanya namun Kor Ming meminta beliau duduk dan memberi peluang kepada Santhara Kumar bertanya soalan.

Menururt Kor Ming, beliau menggunakan kuasa perkara 44(2) bagi memerintahkan Taijuddin keluar dewan dan meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Ahli parlimen Pasir Salak itu memberi kerjasama.

Sementara itu, Ismail Sabri meminta Kor Ming konsisten dalam melaksanakan perintah keluar dewan yang dikenakan ke atas Tajuddin. – MalaysiaGazette