Antara peserta cilik yang memupuk kesedaran penanam pokok hutan dan kepentingan kepelbagaian biologi.

SERDANG – Program ‘Exploration Planting Tomorrow Program 2023’ berjaya
menanam 200 batang pokok hutan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sultan Idris Shah Forest
Education Center (SISFEC) bagi menekankan kepentingan konservasi alam sekitar dan
kelestarian hutan sebagai nadi masa hadapan.

Pengarah program, Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman, Ketua Laboratori Belia dalam
Kepemimpinan, Politik dan Kewarganegaraan, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM, berkata program ke arah masa hadapan yang lebih hijau dan lestari ini secara tidak
langsung menyokong Agenda Nasional Negara melalui Kempen Penanaman 100 Juta
Pokok menjelang tahun 2025.

Katanya, keperluan mengambil bahagian dalam pemuliharaan alam sekitar perlu dipergiat
bermula hari ini bagi memupuk masyarakat yang cintakan alam sekitar dan kesejahteraan
masyarakat masa hadapan.

“Sebanyak tujuh jenis pokok hutan telah ditanam di sini iaitu Merbau, Meranti Melantai,
Kempas, Rambai, Jentik-Jentik, Kelat (Syzygium dyerianum) dan Sentul (Sandoricum
Beccarianum) bermula 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.

“Pemilihan jenis anak-anak pokok hutan yang ditanam di sini adalah mengikut kesesuaian
dan keupayaan pokok untuk memegang struktur tanah, serapan air dan saiz pokok apabila dewasa kelak,” katanya.

Inisiatif penanaman pokok hutan ini merupakan kerjasama antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Petronas Carigali Sdn. Bhd sebagai tindakan langkah ke hadapan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan hutan serta memupuk kesedaran di kalangan para peserta mengenai pentingnya kepelbagaian biologi.

Jelasnya, peluang ini perlu dibanggakan dalam usaha sama untuk memenuhi Matlamat
Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG3 (kesihatan dan kesejahteraan) SDG 11
(Bandar dan Komuniti Lestari), SDG13 (Tindakan Iklim) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat). – MalaysiaGazette