Produk agen pemplastik yang dihasilkan oleh MPOB

KUALA LUMPUR – Penyelidik dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)  berjaya menghasilkan produk agen pemplastik berasaskan sawit yang lebih selamat digunakan untuk membungkus makanan dan minuman.

Agen pemplastik adalah bahan tambahan bagi meningkatkan keanjalan dan
kelenturan bahan plastik. Agen pemplastik ini adalah bahan kimia yang sangat dicari
untuk digunakan di pelbagai industri seperti automotif, perubatan dan barang
pengguna.

Teknologi yang dibangunkan oleh Zulina Abdul Maurad menggunakan oleokimia
sawit, sumber boleh diperbaharui bagi penghasilan agen pemplastik dapat
mengurangkan kesan bahan kimia ke atas plastik yang dibungkus untuk makanan
dan minuman.

Teknologi ciptaan beliau memenangi Anugerah Utama Tahun Pengkomersialan
Malaysia 2020 (MCY 2020) dalam kategori Anugerah Usahawan Penyelidik baru-
baru ini.

2
Menurut Zulina, teknologi proses penghasilan agen pemplastik berasaskan sawit
yang telah dipatenkan ini dapat meningkatkan penggunaan minyak sawit dan tambah
nilai metil oleat sebagai agen plastik yang tidak toksik, menggantikan dictyl phthalate
(DOP) yang bersifat karsinogenik dan telah dilarang di negara-negara tertentu.
Karsinogen ialah agen-agen yang boleh mencetuskan pertumbuhan sel-sel barah.

“Penggunaan sumber yang boleh diperbaharui dalam pengeluaran agen pemplastik
berasaskan sawit dapat mengurangkan penyerapan bahan kimia ke dalam plastik
dan selamat untuk digunakan terutamanya untuk membungkus makanan dan
minuman,” tambah Zulina.

Produk agen pemplastik yang dibangunkan oleh MPOB ini memenuhi syarat kualiti
piawaian industri. Agen pemplastik berasaskan sawit dapat digunakan dalam
formulasi PVC untuk penghasilan pembalut plastik makanan, mainan plastik, tiub
plastik, tayar, barang kulit sintetik, lantai lamina dan lain-lain.

Plastik filem yang menggunakan agen pemplastik berasaskan sawit menunjukkan
ketelusan filem yang lebih tinggi, pengurangan kesan statik dan sifat mekanikal yang
bertambah baik daripada plastik filem berasaskan DOP.

Teknologi ini telah dikomersialkan oleh Magnechem Sdn Bhd dengan kapasiti
pengeluaran agen pemplastik berasaskan sawit sebanyak 100 metrik tan sebulan. – MalaysiaGazette