Tekun Nasional

KUALA LUMPUR – Tekun Nasional akan melancarkan skim pembiayaan tanpa caj bagi membantu memulih dan memulakan semula perniagaan mikro yang terkesan ekoran pandemik Covid 19 untuk meneruskan semula perniagaan.

Skim ini akan dibuka untuk permohonan bermula 15 Ogos 2021.

Sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan di bawah Pakej Pemulih bagi pelaksanaan skim pembiayaan baru tanpa caj ini dan seramai 11,500 orang usahawan mikro dijangka mendapat manfaat daripada skim pembiayaan tersebut.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh MEDAC, dianggarkan 580,000 perniagaan di bawah perusahaan mikro, kecil dan sederhana akan berhadapan dengan kegagalan perniagaan ekoran daripada pandemik Covid -19.

“Oleh itu, saya berharap usahawan-usahawan ini mengambil peluang memohon skim pembiayaan yang akan dilancarkan nanti untuk menambah modal perniagaan termasuk usahawan mikro di bawah kategori First To Close, Last To Open (FCLO) yang terjejas perniagaan berikutan penutupan operasi.

”Skim Pembiayaan Informal (SPIN) 2.0 dan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (CBRM) 2.0 yang akan dilancarkan ini adalah penambahbaikan daripada produk sebelumnya.

”Menyedari keperluan usahawan yang mendesak dalam mendapatkan modal, had maksimum pembiayaan produk ini telah ditingkatkan dan tiada caj yang dikenakan,” katanya.

Bagi SPIN 2.0, had maksimum pembiayaan adalah RM10,000 manakala CBRM 2.0 adalah sehingga RM20,000.

“Saya harap pelancaran skim ini dapat membantu usahawan mikro dalam kelangsungan perniagaan mereka,” ujar beliau.

Produk SPIN 1.0 telah dilancarkan pada Disember 2020 bagi membantu usahawan informal yang terjejas perniagaan ekoran pandemik Covid 19 dan s ehingga kini 3,369 orang usahawan informal telah mendapat pembiayaan dengan nilai RM19.8 juta. – MalaysiaGazette