MELAKA – Harga telur ayam di negeri ini dijangka naik 5 sen atau RM1.50 bagi sepapan 30 biji minggu depan atau selepas cuti umum Tahun Baharu Cina.

Beberapa peniaga yang ditemui MalaysiaGazette mendakwa, mereka sudah menerima notis daripada pembekal masing-masing mengenai kemungkinan kenaikan itu susulan kekurangan stok bekalan telur di negeri ini sejak tiga minggu lalu.

Ketika ini kerajaan menetapkan harga maksimum runcit telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa iaitu 44 sen sebiji (Gred A), 42 sen (Gred B) dan 40 sen (Gred C) manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah bergantung kepada kawasan.

Harga ayam Gred C yang dijual di pasar Melaka.

Peniaga runcit, Yong Kok Chong, 38, berkata, pembekalnya juga memberi alasan kenaikan harga dedak ayam dan kos operasi sebagai punca utama pengeluaran telur merosot menyebabkan harga meningkat.

“Kekurangan bekalan telur ayam berlaku sekitar dua atau tiga minggu lalu dan sebelum Tahun Baharu Cina semalam, mereka kata harga bagi semua gred mungkin akan naik lima sen sebiji selepas raya.

“Alasan mereka dedak ayam mahal, barang pun dah naik harga tapi harga telur tak naik selain berlaku kes ayam sakit jadi saya pun tiada pilihan terima sahaja berapa papan yang dibekalkan.

“Sejak beberapa hari ini, saya minta 10 papan pun, cuma dapat lima papan, kalau sebelum ini minta 20 papan telur pun tiada masalah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pasar Besar Melaka di Jalan Tun Fatimah, Bachang di sini hari ini.

Sultan Alawdeeb HP Jamal Mohd

Seorang lagi peruncit, Sultan Alawdeeb HP Jamal Mohd, 51, berkata, dia turut dimaklumkan perkara sama daripada pembekal dan kenaikan lima sen sebiji itu adalah paling tinggi berlaku berbanding sekitar satu atau dua sen sebelum ini.

“Saya risau kenaikan lima sen sebiji bagi semua gred telur ayam ini pasti mengakibatkan pengguna marah kerana lima sen itu sangat tinggi berbanding sebelum ini naik satu atau dua sen sahaja,” katanya.

 

Nurul Farisha Yusof

Peniaga kedai runcit, Nurul Farisha Yusof, 21, pula berkata, kenaikan lima sen dijangka membabitkan semua gred telur ayam bermula A, B, C dan D.

“Saya harap pihak berkuasa dapat berbuat sesuatu seperti mengawal harga ini sehingga perayaan Hari Raya Aidilfitri demi kebajikan peniaga dan pengguna.

“Peniaga pula dapat untuk cuma beberapa sen sahaja jadi kerajaan tolonglah buat sesuatu demi rakyat,” katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan harga telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan SHMKM berkuatkuasa pada 5 Februari hingga 5 Jun 2022. – MalaysiaGazette