Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Sebuah NGO, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) meminta pihak berkuasa menyiasat penganjur persidangan Gender dan Seksualiti yang bakal diadakan di ibu kota pada 3 hingga 4 Oktober ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya bimbang persidangan yang condong kepada LGBT itu mempunyai unsur bertentangan dengan budaya dan nilai Malaysia.

Katanya, jika wujud unsur itu, maka persidangan berkenaan wajar dihalang dan dibatalkan.

“Kerajaan Malaysia perlu tegas dengan sikap dan dasar menolak LGBT walaupun ia ditafsirkan sebagai menyekat kebebasan bersuara.

“Malaysia harus kekal dengan dasarnya untuk tidak menerima nilai barat yang merosakkan bukan sahaja budaya masyarakat timur, malah bertentangan dengan Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal atas talian bahawa sebuah organisasi bernama The International Insititute of Knowledge Management (TIIKM) bertapak di Sri Lanka akan menganjurkan persidangan itu pada Oktober ini.

Kata Mohd Azmi, berdasarkan laporan https://genderconference.com/ penganjur menyatakan ia menganjurkan persidangan itu bertujuan berkongsi penyelidikan ilmiah bagi pelbagai ahli akademik dan pengkaji dari seluruh dunia mengenai isu gender.

Dalam iklan yang dipaparkan, pembicara yang diundang adalah dua aktivis transgender iaitu Bhoomi Harendran dari Sri Lanka dan Jessica Lynn dari Amerika Syarikat.

“Walaupun atas nama perbahasan ilmiah, namun ia akan mempromosi hak golongan LGBT yang ditolak oleh Malaysia.

“Kami menyangka, oleh kerana Malaysia secara jelas menolak LGBT, penganjur nampaknya merasakan mengadakan perdebatan itu di negara ini sebagai strategi untuk menyemarakkan tuntutan kumpulan LGBT supaya Malaysia mengubah dasarnya.

“Dengan itu, kami berpendapat adalah tidak sesuai persidangan itu dibenarkan diadakan di Malaysia,” katanya.

Beliau menegaskan, Malaysia tidak boleh dijadikan tapak eksperimen untuk menonjolkan nilai dan budaya yang bertentangan dengan nilai masyarakat negara ini. – MalaysiaGazette