KUALA LUMPUR – Tertuduh kedua dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyembunyikan mayat dan menghapuskan kereta Kevin Morais.

Hakim Azian Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas G Gunasekaran, 48, seorang penganggur selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah semasa perbicaraan kes bunuh itu masuk hari ke-36, Selasa.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 15 Sept 2015.

Gunasekaran didakwa bersama-sama S Ravi Chandaran, 45, dan S Nimalan, 43, dengan niat bersama telah menyembunyikan mayat dan menghapuskan kenderaan nombor plat WA 6264Q.

Perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk mengelak enam tertuduh dalam kes bunuh berkenaan, iaitu Ravi Chandaran, Nimalan, A.K. Thinesh Kumar, 26, M Vishwanath, 26, R. Dinishwaran, 24, dan pakar patalogi Kolonel Dr K. Kunaseegaran, 53, daripada seksaan undang-undang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dari Jalan Dutamas 1, di sini ke ladang kelapa sawit Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Hilir Perak, Perak, antara 7 pagi 4 Sept 2015 hingga 2 pagi 5 Sept 2015 mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah mengenali Ravi Chandaran (tertuduh ketujuh) sejak 20 tahun lepas, dan Ravi Chandaran juga yang memperkenalkan tertuduh dengan Dr Kunaseegaran.

Tertuduh juga mempunyai hubungan rapat dengan Dr Kunaseegaran sehingga Dr Kunaseegaran pernah mengadu kepadanya tentang pertuduhan yang dihadapi di mahkamah dan menyatakan tindakan Kevin Morais menambah pertuduhan ke atasnya menyusahkan dan menyebabkan dia perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk yuran guaman.

Pada 3 Sept 2015 Ravi Chandaran telah meminta tertuduh ke Restoran Syed Bistro di Petaling Jaya untuk bertemunya dan di situlah tertuduh mengenali empat lagi tertuduh dalam kes pembunuhan itu.

Kejadian bermula pada 4 Sept 2015 apabila Ravi Chandaran memberitahu tertuduh untuk melakukan pungutan wang daripada Kevin Morais dan dia bersama Ravi Chandaran perlu menangkap Kevin Morais sebelum mangsa ke pejabat dan tertuduh bersetuju kerana Ravi Chandaran tidak mempunyai kenderaan.

Mereka mengekori kereta Proton Perdana dinaiki Kevin Morais dan selepas melihat Kevin Morais berhenti di bahu jalan, Ravi Chandaran turun dari kenderaan manakala tertuduh meneruskan perjalanan ke sebuah restoran.

Selepas itu pada hari sama tertuduh diminta membeli tong dram dan mengangkat simen untuk dimasukkan ke dalam tong sehingga penuh dan tertuduh melihat terdapat guni di dalam tong itu yang mengandungi mayat Kevin Morais.

Tertuduh memberitahu Dr Kunaseegaran mengenai sesuatu yang tidak kena telah berlaku namun Dr Kunaseegaran kelihatan tidak terkejut tetapi hanya tersenyum, meminta dia bertenang dan memberitahunya supaya tidak masuk campur.

Terdahulu ketika rayuan mengurangkan hukuman, peguam S Ramesh yang mewakili bapa kepada seorang anak itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum mengambil kira peranan tertuduh dalam kes itu.

Ramesh berkata tertuduh yang berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal itu tidak membunuh Kevin Morais sebaliknya hanya terlibat melupuskan mayat mangsa iaitu selepas Kevin Morais meninggal dunia.

“Tertuduh tidak kenal mendiang Kevin Morais secara peribadi dan tertuduh tidak pernah berada di sisi mendiang pada ketika mendiang menemui ajal, jauh sekali mempunyai niat untuk membunuh mendiang,” katanya.

Peguam itu turut memberitahu tertuduh yang ditahan reman sejak 15 Sept tahun lepas juga telah menyesal serta sedih atas perbuatannya dan memohon maaf secara terbuka kepada keluarganya dan seluruh rakyat Malaysia yang terkejut, marah dan sedih dengan kematian Kevin Morais.

Timbalan Pendakwa Raya Saiful Hazmi Mohd Saad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran mengambil kira tindakan dan peranan tertuduh yang turut membantu menyembunyikan mayat Kevin Morais.

“Ini adalah satu perkara tragis yang telah berlaku kepada mendiang Kevin Morais yang ketika itu sedang menjalankan tugas. Beliau adalah seorang pegawai undang-undang yang komited. Pohon hukuman ‘deterrent’ (pencegahan) atas kepentingan awam,” katanya.

Gunasekaran dan lima lelaki iaitu, Dinishwaran, Thinesh Kumar, Vishwanath, Nimalan, dan Ravi Chandaran, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015, antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Dr Kunaseegaran, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.

— BERNAMA