Hakimi Abdullah (kiri).

KUALA LUMPUR – Pemain tengah Terengganu FC, Hakimi Abdullah menganggap pasukannya belajar daripada kesilapan untuk memburu kemenangan pertama menentang Sarawak United FC malam esok.

Selepas berdepan dua kekalahan, anak buah Nafuzi Zain itu nyata enggan terus tercicir mata dan ingin segera mendapatkan kemenangan sekaligus membaiki kedudukan liga yang menyaksikan mereka kini di tangga tercorot liga.

Bagi Hakimi, setiap pemain sedar dengan kesilapan yang telah dilakukan dalam dua perlawanan terdahulu tetapi prestasi mereka tampak lebih baik ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan momentum itu perlu dibawa ke Kuching untuk menentang Sarawak United.

Skuad kendalian B. Sathianathan itu juga masih kempunan kemenangan selepas tiga kali tewas dan satu seri menyaksikan pertembungan kali ini pasti sengit apabila kedua-dua pasukan mahu mencari kemenangan sulung.

“Ada sedikit tertekan apabila tewas tetapi kami cuba untuk berusaha juga lawan habis-habisan untuk cari kemenangan.

“Banyak kekurangan sebenarnya dalam perlawanan lepas dan ada jug kelemahan daripda diri sendiri tapi itu bukan penghalang untuk kami terus melangkah ke depan.

“Dan Sarawak United pun masih belum menang lagi setakat empat perlawanan, jadi dua-dua masih nak cari kemenangan pertama, sudah tentu ia akan menjadi perlawanan yang sukar”, jelasnya.

Hakimi yang mula mencipta nama bersama Terengganu sejak musim lepas dengan lima jaringan enggan terlepas untuk terus mencuri perhatian dengan prestasi yang lebih cemerlang.

Apa yang pasti, ia baru sahaja permulaan untuk pasukan Terengganu meneruskan perlawanan akan datang dengan keputusan yang lebih baik.

“InsyaAllah saya akan cuba buat yang lebih baik pada tahun ini dan tahun lepas saya berjaya melakukan lima gol.

“Jadi musim ini jika diberi peluang ingin menjaringkan lebih daripada itu tetapi semua itu bergantung atas rezeki masing-masing.

“Tahun lepas memang agak baik untuk saya dan tahun ini sudah pasti saya mahu teruskan momentum yang ada ini”, katanya.

Terengganu FC akan melakukan perhitungan dengan Sarawak United FC esok di Stadium Negeri bagi aksi Liga Super 2022. – MalaysiaGazette