Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying (dua kiri) meninjau struktur bumbung bangunan yang runtuh di SMK Cheras Jaya, Balakong. Foto FAREEZ FADZIL, 30 MAC 2023.

BALAKONG – Tindakan pantas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Jaya di sini berjaya menyelamatkan para pelajarnya daripada dihempap struktur bumbung bangunan di sekolah itu yang runtuh.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying meluahkan rasa syukur atas langkah awal pihak sekolah kerana kejadian itu mampu menjadi detik hitam sekiranya terdapat pelajar ketika runtuhan berlaku.

“Saya bersyukur kerana apabila mula sesi persekolahan baru ini, pengetua telah arahkan blok itu dikosongkan kerana pihak sekolah memang sudah tahu keadaan bumbung di blok F itu tidak selamat. Jadi bila runtuhan berlaku, tiada sesiapa di kawasan kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke sekolah tersebut bagi meninjau struktur bumbung yang runtuh dalam kejadian jam 1.18 tengah hari semalam.

Kesan struktur bumbung bangunan di blok F yang runtuh di SMK Cheras Jaya.

Hui Ying berkata, kejadian disedari lebih awal oleh pihak sekolah pada jam 12.40 tengah hari semalam apabila terdapat segelintir serpihan siling yang jatuh sebelum pengetua mengarahkan semua kawasan sekitar blok itu dikosongkan.

Jelasnya, pihak sekolah juga telah memaklumkan mengenai perkara itu lebih awal iaitu pada Januari tahun ini kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat untuk penyelenggaraan segera.

Lim Hui Ying

“Pada Mac 2023, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor telah menerima surat dari PPD Hulu Langat mengenai isu tersebut.

“Maka, Kementerian Pendidikan (KPM) telah bersedia membuat penyelenggaraan dengan jumlah lebih kurang RM450,000. Malangnya sebelum KPM teruskan, bumbung itu telah runtuh semalam,” katanya.

Sehubungan itu, Hui Ying memberitahu, kementeriannya akan menyalurkan peruntukan yang lebih besar bagi memastikan bukan sahaja struktur bumbung menjadi keutamaan malah meliputi keseluruhan kawasan sekolah itu.

Hui Ying berkata,  sekolah  dua sesi itu, pagi dan petang berjalan seperti biasa dengan pelajar di kelas terjejas telah dipindahkan ke blok lain.

Kawasan blok F meliputi dua bilik darjah, beberapa makmal komputer, makmal sains, bengkel, bilik pengurusan sekolah dan koperasi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kantin sekolah menengah padang tembak KL yg terbakar dulu apa cerita ye?dah lebih dua tahun nih….murid murid terpaksa makan di kantin sementara yang kurang selesa…mmmm

Comments are closed.