face mask parliament Tajuddin Abdul Rahman fined compound SOP
Mohd Rashid Hasnon

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen yang mengikuti sesi sidang Dewan Rakyat untuk hari ketiga hari ini diingatkan supaya sentiasa mematuhui Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memakai pelitup muka sepanjang berada di sekitar bangunan Parlimen.

Timbalan Yang diPertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang memberikan peringatan itu berkata, semua ahli-ahli Parlimen perlu berbuat demikian bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 yang sekarang ini mudah merebak melalui angin terutama varian Delta.

“Suka saya ingatkan kepada ahli-ahli Parlimen supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika berada di dalam dewan mahupun di luar dewan yang mulia ini.

“Untuk makluman persekitaran bangunan Parlimen ini dipantau oleh pasukan penguatkuasa yang memastikan SOP dapat dipatuhi,” katanya.

Beliau turut meminta ahli Parlimen yang berada supaya menarik penghadang lutsinar semasa duduk di dalam dewan agar ada pemisah antara satu sama lain.

Semalam, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Ahmad Tajuddin Abdul Rahman dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di ruang legar Parlimen semasa Persidangan Khas Dewan Rakyat semalam.

Perkara itu disedari pihak polis selepas mengesan hantara pemilik akaun Twitter @sultanoftasik yang memaparkan Tajuddin berkenaan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu pada kira-kira pukul 10 pagi.

Pada 9 Jun lalu, Tajuddin yang merupakan bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media berkaitan kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT). – MalaysiaGazette