Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Usaha menyantuni golongan yang memerlukan dan terkesan akibat wabak COVID-19 dizahirkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan mengagihkan wang wakalah zakat ke setiap negeri di Semenanjung dan Sabah sepanjang Ramadan lepas.

Menerusi kenyataan TNB, sumbangan wakalah berjumlah RM4.36 juta disampaikan kepada lebih 21,000 orang di ratusan kampung dan perumahan di kawasan pedalaman Padang Besar di Perlis, Bukit Selambau (Kedah), Balik Pulau (Pulau Pinang), Kayan (Perak), Banting (Selangor), Lukut (Negeri Sembilan), Masjid Tanah (Melaka), Plentong (Johor), Bentong (Pahang), Batu Rakit (Terengganu), Jeli (Kelantan) dan Keningau (Sabah).

“Maklumat balas yang kami terima daripada para penerima sangat mengesankan, lebih-lebih lagi mereka yang dihimpit kesukaran akibat pandemik COVID-19, khususnya yang tinggal dalam kawasan bandar, apabila punca pendapatan masing-masing terjejas,” kata Ketua Pegawai Korporat TNB Datuk Wira Roslan Ab. Rahman.

Turut mendapat manfaat itu adalah penduduk miskin bandar di Wilayah Persekutuan dan Selangor seperti di Ampang, Putrajaya, Lembah Pantai, Batu dan Puchong.

Fariha Muda, pengetua Asrama Anak Yatim (Perkaya) Marang berterima kasih atas bantuan itu yang sedikit sebanyak meringankan beban Perkaya menyediakan bahan makanan dan minuman bagi 250 penghuni asramanya.

“Bantuan ini dapat meringankan beban kerana Perkaya sedang mengalami kekangan kewangan. Saya berharap juga agar pihak TNB dapat memberikan bantuan dari segi menaik taraf kemudahan elektrik memandangkan asrama ini sudah lama beroperasi, kira-kira 35 tahun,” katanya.

Bagi Penghulu Mukim Teloi Kiri, Kedah, Abdul Latiff Ismail, bantuan kewangan itu membantu penduduk Kampung Bukit Selambau, termasuk peniaga pasar malam dan pekan pagi yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

“Saya bagi pihak penduduk kampung memang cukup bersyukur atas bantuan TNB. Untung ada projek TNB, orang ramai pun secara tak langsung dibantu melalui program-program macam ni,” katanya.

Bilal Masjid Taman Air Biru, Pasir Gudang, Johor, Hamezid Junid berkata bantuan yang disalurkan dalam bentuk wang tunai dan juga bantuan makanan dimanfaatkan untuk membeli keperluan seperti lampin anak, lauk dan barang keperluan lain.

Pegawai Daerah Bertam Sopuddin Yusoff pula mengalu-alukan sumbangan TNB yang dapat meringankan bebanan penduduk di Mukim Kuala Bertis dan Bertam Barat yang kebanyakannya bekerja sendiri dengan membuat kerja-kerja kampung dan mengusahakan kelapa sawit dan getah.

“Hubungan baik antara masyarakat di sini dengan pihak TNB sememangnya telah terjalin erat sejak dulu lagi,” tambahnya.

Wang wakalah, penerimaan semula daripada pembayaran zakat syarikat TNB diagihkan ke setiap negeri dengan peruntukan antara RM50,000 hingga RM1.3 juta bergantung kepada pulangan wakalah yang diterima di setiap negeri.- BERNAMA