Chew Mei Fun
Chew Mei Fun

PUTRAJAYA – Dua ahli politik DAP hari ini menarik balik rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan mereka membayar RM350,000 kepada bekas setiausaha agung MCA Datin Paduka Chew Mei Fun kerana memfitnah.

Chew turut menarik balik rayuan balasnya terhadap kuantum ganti rugi.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Supang Lian, Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Wong Kian Kheong kemudiannya membatalkan rayuan serta rayuan balas itu tanpa perintah berhubung kos.

“Kami berterima kasih kepada pihak yang capai penyelesaian hari ini,” kata Hakim Supang yang mempengerusikan panel itu.

Terdahulu, peguam Shahredzan Johan yang mewakili Tony Pua dan Yeo Bee Yin memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya menarik balik rayuan mereka tanpa sebarang kos.

Peguam Chew, Rueben Mathiavaranam pula mengesahkan perkara itu dan berkata anak guamnya menarik balik rayuan balasnya tanpa sebarang arahan berkaitan kos.

Pada 30 Nov lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Pua, yang merupakan bekas Ahli Parlimen Damansara membayar RM200,000 dan Yeo, bekas Menteri Tenaga, Sains, teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am dan teruk kepada Chew selepas mendapati mereka bertanggungjawab kerana memfitnah Chew.

Ketika dihubungi Bernama, Rueben berkata susulan penarikan rayuan itu, keputusan Mahkamah Tinggi kekal.

“Jumlah yang diarahkan untuk dibayar, telahpun dibayar kepada kami (firma guamannya) dan jumlah itu disimpan bersama kami, sementara menunggu keputusan perbicaraan (rayuan) di Mahkamah Rayuan. Kini kami boleh memberikannya kepada pelanggan kami,” kata Rueben.

Pada Mac 2018, Chew memfailkan saman fitnah terhadap Pua dan Yeo, yang mendakwa bahawa beliau telah meluluskan penjualan sebidang tanah kepada MCA Selangor di bawah harga pasaran.

Yeo turut membuat kenyataan mengenai isu itu dalam video Facebook, dan berkata tanah itu digunakan untuk penanaman buah naga. Pua dan Yeo membuat kenyataan itu pada 2017.

Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Chew, bekas ahli Parlimen Petaling Jaya yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah membuktikan bahawa kenyataan itu adalah fitnah.

Hakim Datuk Roslan Abu Bakar juga mendapati Pua dan Yeo tidak pernah membuat pengesahan dengan pihak berkuasa atau dokumen berkaitan, sama ada Chew sebenarnya ahli jawatankuasa pejabat tanah daerah, dan beliau juga mendapati artikel yang disiarkan dalam The Malay Mail Online, Free Malaysia Today dan Nanyang Siang Pau membayangkan bahawa Chew menggunakan kedudukan dan pengaruhnya dalam jawatankuasa pejabat tanah daerah bagi membolehkan pengambilalihan tanah oleh MCA di bawah harga pasaran.

Prosiding mahkamah hari ini berlangsung secara dalam talian. – BERNAMA