Tren baharu Bombardier Innovia Metro 300 milik Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

SEPANG – Tren baharu Bombardier Innovia Metro 300 milik Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Dalam satu kenyataan, Prasarana memaklumkan, tren tersebut tiba dengan pesawat kargo awam terbesar dunia Antonov An124-100.

Pesawat kargo awam terbesar dunia Antonov An124-100.

Tren berkenaan, yang merupakan unit kelima daripada kumpulan 27 unit tren baru yang dibeli di bawah projek KLAV (Kuala Lumpur Additional Vehicle), mencatat sejarah sebagai tren pertama dihantar menerusi pesawat kargo di Malaysia dan Asia Tengara.

Sebelum ini, tren-tren buatan Bombardier ini dihantar ke Malaysia dengan menggunakan kapal laut dan memakan masa dua bulan sebelum sampai di Pelabuhan Klang.

Urusan penghantaran tren berkenaan bermula dengan pesawat berkenaan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Plattsburgh, Amerika Syarikat pada 22 Ogos lalu dan melakukan persinggahan di beberapa negara sebelum tiba di KLIA hari ini.

Di bawah projek perolehan dengan BHC itu, Prasarana membeli 27 unit tren baharu Bombardier Innovia Metro 300, yang kemudiannya dipasang di fasiliti pembuatan HARTASUMA di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Sebelum ini, Prasarana sudah pun membeli 14 tren Bombardier Innovia 300 di bawah projek fasa 1 KLAV.

Dengan pembelian tambahan 27 tren lagi empat-gerabak, ia akan dapat memastikan lebih keselesaan kepada pengguna di samping dapat mengurangkan tempoh masa menunggu ketika waktu puncak. – MalaysiaGazette