Serbuan oleh pihak pengua tkuasa di sebuah gudang yang membungkus semula daging yang diimport dari negara-negara tidak mendapat kelulusan JAKIM. foto Sinar Harian

INI bukan soal biasa-biasa, bukan soal politik juga bukan pula soal remeh-temeh. Ia sesuatu isu yang besar yang akan menjadi darah daging dalam diri manusia. Berapa ramai yang telah termakan makanan yang tidak halal ini walaupun di sebalik bungkusannya tertera logo halal yang kononnya dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara terbabit.

Isu ini perlu dibongkarkan sehingga bertemu dengan dalang yang utama sehingga diberkas mereka yang terbabit itu. Bukan sahaja pihak berkuasa yang perlu tegas tanpa kompromi, bahkan masyarakat juga wajar menjalankan peranan membuat laporan sekiranya mengetahui siapa punya ‘angkara’ ini.

Pada hari kedua bulan penghujung tahun 2020, kita digemparkan dengan laporan berita berkaitan kartel penyeludupan daging sejuk beku haram ke negara ini yang dibungkus dengan logo halal sebagaimana yang dilaporkan Sinar Harian. Ini berhubung kait dengan soal HALAL dan HARAM, yang apabila manusia memakannya menjadi darah daging dalam diri. Seteruk dan sekeji itu tindakan pihak yang rakus sehingga sanggup memalsukan segalanya.

Bagi yang sentiasa membeli daging segar tempatan, sedikit sebanyak boleh menarik nafas lega. Namun bagaimana halnya dengan restoran-restoran, warung kecil tepi jalan, pengeluar produk sejuk beku serta rangkaian makanan segera yang menggunakan daging import yang tidak halal tersebut dalam operasi harian mereka?

Fikirkan pula tentang si ibu yang selalu menggunakan daging import dalam hidangannya buat keluarga tercinta. Bagaimana pula jika mereka yang selama ini sering mendapatkan daging beku sebagai makanan harian ahli keluarga mereka?

Di sini, bukan saya nak timbulkan lagi kemarahan dan keresahan dengan isu yang telah menular itu, melainkan untuk mengajak kita semua melihat kembali bagaimana hati umat Islam selama ini yang semakin jauh daripada apa yang diperintahkan Allah.

Mereka juga sangat rapuh dan tidak konsisten menunaikan hak agama sepertimana sepatutnya walaupun sebilangan besar mengetahui sesuatu itu adalah perintah dan larangan daripada Allah SWT. Dalam surah al-Maidah ayat 3, Allah SWT menjelaskan tentang yang haram itu (yang bermaksud):
“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk,
dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala…”

Kesannya cukup besar pada diri seseorang umat Islam yang memakan makanan haram, yang utamanya ialah menzalimi diri sendiri kerana berikutan daripada itu, amalan yang dilakukan tidak diterima Allah SWT.Siapa pun umat Islam yang memakan makanan yang haram maka amal ibadahnya tidak diterima Allah dalam waktu empat puluh hari seperti yang disebutkan dalam hadis riwayat At-Thabrani (yang bermaksud): Ibnu Abbas RA berkata bahawa Sa’ad bin Abi Waqqas berkata kepada Nabi Muhammad SAW, “Ya Rasulullah, doakanlah aku agar menjadi orang yang dikabulkan doa-doanya oleh Allah.”

Apa jawapan Rasulullah? “Wahai Sa’ad perbaikilah makananmu (makanlah makanan yang halal) nescaya engkau akan menjadi orang yang selalu dikabulkan doanya. Dan demi jiwaku yang ada di tanganNya, sungguh jika ada seseorang yang memasukkan makanan haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amalnya selama 40 hari dan seorang hamba yang dagingnya tumbuh daripada hasil menipu dan riba, maka neraka lebih layak untuknya.”

Inilah yang lebih menggusarkan ke atas umat Islam. Sungguh menakutkan bukan? Bagaimana seseorang itu akan menerima kebaikan yang disampaikan kepadanya? Boleh jadi kerana sesuatu yang haram itu telah mengalir dalam diri seseorang itu. Wal’iyyadzubillah.

Boleh jadi juga, sebelum ini masyarakat kita merasa lega kerana adanya logo HALAL, namun apa yang golongan pelampau ini telah lakukan sehingga sanggup menyeludup daging sejuk beku yang tidak halal ini untuk dipasarkan di Malaysia? Modus operandi mereka cukup licik dan tidak berhati perut. Sebagaimana yang dilaporkan media berkenaan semalam, taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia terbongkar dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai pada 1 Disember lalu.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu, yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Menurut laporan itu lagi, tindakan itu dibuat bagi menyakinkan pemborong di Malaysia kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum dipercayai diedar ke pasaran tempatan. Bayangkan dalam serbuan yang dilakukan itu, sebanyak 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta telah disita. Bagaimana dengan sebelum-sebelum ini, iaitu sejak kartel itu menjalankan operasinya?

Persoalan yang perlu pihak berwajib rungkaikan di sini, bagaimana daging sejuk beku yang kebanyakannya diseludup dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina boleh terlepas masuk ke Malaysia? Pelbagai andaian dan persepsi masyarakat boleh dibuat. Bagaimana selama ini kegiatan itu tidak dapat dihidu? Siapa punya angkara dan dalangnya? Walau bagaimanapun, isu ini tidak boleh didiamkan melainkan pihak kerajaan dan ahli politik juga wajib campur tangan kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam.

Laporan itu menyatakan, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan mendapatkan stok daging sejuk beku dari luar negara sebelum dikatakan diseludup melalui Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas. Bagi memastikan kegiatan penyeludupan terbabit berjaya, mereka dipercayai akan menggunakan dokumen palsu termasuklah borang kastam, permit import, sijil halal ataupun resit bayaran. Manakala bagi mengaburi mata pihak berkuasa pula, sindiket turut mengimport daging daripada sumber yang sah sebelum dibawa ke gudang terbabit di Senai.

MAQIS memandang serius perkara ini dan tindakan undang-undang berkaitan serta akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan selanjutnya.

Sebelumnya, Sinar Harian 23 November lalu telah mendedahkan mengenai syarikat penghantar barang (freight forwarder) yang menguruskan proses pengimportan daging sejuk beku halal mengambil jalan mudah mengimport daging sejuk beku dari negara yang tidak menerima kelulusan sah JAKIM.

Kegiatan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu itu didakwa mendapat bantuan daripada ‘orang dalam’ di pintu masuk negara apabila kebanyakan daging sejuk beku import itu dibawa masuk menggunakan dokumen palsu. Inilah antara jenayah penipuan dalam perniagaan yang dilakukan oleh golongan yang tamak
haloba. Kejam sungguh tindakan syarikat terbabit! Sensitiviti umat islam perlu dijaga Dalam pada itu, di beberapa status Facebook didapati perkara ini turut menjadi bualan yang serius, antaranya pemilik FB yang bernama Al Irfan Jani dengan permulaan statusnya ‘Malaysia Berduka’ yang sangat berisi dan boleh diambil manfaatnya, termasuk komen-komen masyarakat mengenai isu ini.

“Saya dah seru ahli keluarga sendiri, mula pulaukan segala mak nenek yang berkait DAGING BEKU. Semua kena ditahan serta-merta. Fastfood, pasar raya, restoran, warung, kedai mamak, food apps, makanan proses sejuk beku, SEMUA.”

“KECUALI, mereka yang declare daging masing-masing dapat dari mana dan dokumen sekali. Kalau berani, semua kedai makan declare daging kalian datang dari mana. Kalau berani, tunjuk resit dari pembekal/pasaraya mana.”

“Masa ini lah, pengembala ternakan daging, kalian kena munculkan diri, tampil uar-uarkan kewujudan anda. Selama ni iklan korang kena sabotaj kartel setempat, selama ni produk daging segar korang sampai dianak tiri walau dalam freezer pengedar.”

Sepatutnya begitulah tindakan kita sebelum membeli bahan makanan yang berunsur daging ini agar kita mendapat yang halal dan bersih. Melalui status beliau itu, kita boleh melakukan perubahan dari sekarang agar diri dan keluarga serta masyarakat kita terjaga daripada makanan yang haram. Kerisauan itu jelas dirasakan semua. Pihak yang menjual di pasar-pasar dan kedai-kedai juga seharusnya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mendapatkan pengesahan yang sebenar-benarnya agar daging sejuk beku yang dijual itu adalah benar-benar halal.

Usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pihak yang turut sama dalam operasi tersebut wajar dihargai antaranya MAQIS, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), JAKIM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor serta Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ). Tindakan untuk menumpaskan kartel ini tentunya belum terhenti dengan isu yang telah didedahkan media ini. Justeru, seharusnya semua pihak meneruskan peranan masing-masing terutamanya berkaitan hal makanan yang akan mendarah daging dalam diri.

Tugas kita sebagai umat Islam mendapatkan makanan yang halal itu adalah wajib. Solusi mudah yang utama, marilah kita beralih kepada produk tempatan yang lebih menjamin kehalalan dan kebersihannya, insya-Allah. Berhati-hatilah selalu untuk keselamatan diri dan memelihara agama kita ini. Teruskan membongkar dan mendedahkan isu kartel yang lain terutamanya yang melibatkan sensitiviti umat Islam.

Atriza Umar
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

1 Komen

  1. Ada kera jaan Melayu Isle pon x boleh pakai…apa tindakn utk mncegh dimasa2 mndatang..yg nmpak dok berebut jwtan tikam menikam sesama sendiri

Comments are closed.