Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media khas mengenai kerajaan jangan pandang remeh isu pemandu teksi berdemo di Wisma Central, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 JUN 2019.
Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media khas mengenai kerajaan jangan pandang remeh isu pemandu teksi berdemo di Wisma Central, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususunya Kementerian Pengangkutan (MOT) diingatkan agar tidak memandang remeh kepada perhimpunan aman yang dianjurkan Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) di hadapan Kementerian Pengangkutan, Putrajaya, Rabu lalu.

Pengasas dan Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd. Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, perhimpunan itu memberi amaran keras kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke agar menunaikan janji kepada warga teksi sebelum 12 Julai ini.

“Warga teksi melihat tiada perubahan drastik dilakukan oleh MOT sebelum ini. Pihak menteri tidak menjalankan pelaksanaan undang-undang perkhidmatan e-panggilan mengikut ‘Rules of Law’ seperti yang dijanjikan selama ini.

“Keputusan pelaksanaan undang-undang e-panggilan ini tidak ubah dan hanya mengikut rentak semasa zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu.

“Ini kerana Menteri Pengangkutan sering mendengar arahan daripada Grab dan memberi keistimewaan kepada Grab dan pemandunya.

“Kerajaan diingatkan tidak memandang remeh dan mendiamkan diri terhadap perhimpunan pemandu teksi yang dianjurkan GTSM di Putrajaya, Rabu lalu,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Rabu lalu, GTMS menghimpunkan 2,000 pemandu teksi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak di hadapan MOT bagi menuntut hak kesamarataan dalam industri pengangkutan awam.

Yang Dipertuanya, Kamarudin Mohd Hussain mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya campur tangan dan menyelesaikan masalah dalam industri teksi di Malaysia.

Menurut Kamarudin, industri teksi dan kebajikan mereka terjejas apabila syarikat-syarikat e-panggilan menawarkan perkhidmatan tersebut kepada kenderaan-kenderaan persendirian yang jelas telah melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010.

Shamsubahrin berkata, sekiranya kerajaan masih gagal menunaikan janji berkenaan, gelobang teksi seluruh negara akan berlaku pada 12 Julai ini termasuk kebangkitan pemandu teksi mengadakan bantahan di jalanan.

“Seluruh warga teksi sedang membuat persiapan rapi pada 12 Julai ini untuk bangkit bukan saja di jalanan bahkan bersedia melakukan apa saja sehingga Menteri Pengangkutan melaksanakan janji-janjinya.

“Sekiranya gagal, beliau harus hadapi gelombang teksi yang berlaku di mana pihak berkuasa tidak boleh menghalangnya.

“Saya berjanji gelombang yang tak disangka-sangka akan berlaku terhadap MOT. Jangan sesekali pihak polis menyebelahi MOT dalam isu ini.

“Jangan salahkan GTSM, jangan salahkan pemandu teksi, jangan cakap pemandu teksi dan GTSM biadap,” katanya.

Katanya lagi, semua pihak tidak sewajarnya mempolitikkan isu teksi dan sikap yang ditunjukkan Menteri Pengangkutan hari ini seolah-olah teksi tidak penting kepada negara.

“Apa yang terjadi Rabu lalu di Putrajaya menunjukkan bahawa semua pemandu teksi telah bangkit mempertahankan haknya daripada Menteri Pengangkutan khususnya Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad kerana gemar mempolitikkan isu teksi,” katanya. – MalaysiaGazette