Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meneruskan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu hutang peneroka Felda.

Ahli Parlimen Pagoh itu menyifatkan tuntutan pampasan sebanyak RM200 juta oleh Anwar sebagai merepek dan ia adalah proses penyalahgunaan mahkamah andai kes saman itu difailkan di mahkamah.

Muhyiddin dalam surat jawapan kepada tuntutan Anwar melalui firma guamannya Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership mendakwa Presiden PKR itu tersilap dalam isu pelupusan hutang peneroka Felda.

“Dokumen disiarkan dalam kenyataan media anak guam anda bertarikh 20 Julai lalu dan siaran media Kementerian Kewangan pada tarikh sama adalah berkenaan sukuk dan bukan tentang hutang peneroka Felda yang sememangnya telah dilupuskan pada 2021.

“Tetapi anak guam anda enggan menarik balik kenyataan fitnah tersebut dan cuba memutarbelitkan perkara ini seperti menegakkan benang yang basah,” kata Muhyiddin.

Berikutan itu Muhyiddin memberi arahan kepada firma guaman terbabit meneruskan saman terhadap Anwar.

Pada 21 Julai lalu, Anwar dalam surat jawapannya menuntut Muhyiddin meminta maaf dan membayar pampasan RM200 juta kerana reputasinya cedera teruk berhubung dakwaan dalam isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Anwar juga akan memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri itu jika tidak menerima maklum balas yang memuaskan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh surat jawapan berkenaan.

Pada 18 Julai lepas, Muhyiddin menghantar surat tuntutan kepada Anwar untuk mengemukakan surat atau dokumen yang beliau tandatangan sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun 2023 bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion dalam tempoh 24 jam. -MalaysiaGazette