Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan Jamal Khazhoggi memasuki bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu. foto Agensi

ANKARA – Pegawai-pegawai Turki mempunyai audio dan video sebagai bukti yang menunjukkan Jamal Khashoggi dibunuh di dalam Konsulat Arab Saudi di Istanbul.

Khashoggi adalah pengkritik kerajaan Arab Saudi.

Beliau dilaporkan hilang selepas memasuki bangunan Konsulat Arab Saudi pada 2 Oktober lalu.

Perisik Turki mempunyai bukti-bukti yang didokumenkan berhubung pembunuhan itu, menurut sumber siasatan kepada BBC.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Arab Saudi menafikan dakwaan tersebut.

Agensi media Arab Saudi yang memetik Putera Abdulaziz bin Saud bin Naif bin Abdulaziz berkata, perintah untuk membunuh Khashoggi adalah penipuan dan tidak berasas.

Arab Saudi mengekalkan pendiriannya bahawa wartawan itu telah meninggalkan bangunan Konsulat dan Menteri Dalam Negeri itu berkata, negaranya akan ‘membuktikan semuanya’, lapor agensi media itu. – MalaysiaGazette