The empty medicine rack due to the supply shortage. Penang
The empty medicine rack due to the supply shortage. Rak ubat batuk kanak-kanak kosong susulan bekalannya sukar diperoleh pihak farmasi Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – “Permintaan ubat batuk kanak-kanak tinggi ketika ini namun kami sangat sukar untuk memperoleh bekalannya, demikian luahan pemilik sebuah farmasi di Jalan Tun Dr Awang di sini.

Menurut Lee, 30, isu kekurangan ubat berlaku ketika kes Covid-19 meningkat pada tahun lalu dan ia menyebabkan ubat tertentu kehabisan stok sepenuhnya.

“Kita boleh kata ubat berkaitan Covid-19 iaitu ubat demam, selsema serta batuk  mendapat permintaan tinggi ketika itu hingga kini.

Lee menunjukkan rak ubat batuk di farmasinya kosong.

“Bagaimanapun, permintaan ubat itu berubah apabila peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang mana ubat batuk kanak-kanak kini sukar diperoleh.

“Bagi farmasi yang dikendalikan saya ini, ubat batuk memang sukar diperoleh malah sudah dua bulan pembekal tidak menghantar bekalan atas alasan tertentu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, Alister Lim, 46, berkata, ini merupakan kali pertama dia berdepan situasi kekurangan bekalan ubat sejak 17 tahun berkecimpung dalam bidang peniagaan farmasi.

Katanya, dia juga berdepan isu kekurangan bekalan ubat batuk serta beberapa ubat lain untuk kanak-kanak.

Alister menunjukkan rak ubat-ubat di farmasinya kosong susulan kekurangan bekalan.

Jelas Alister, bekalan ubat yang diimport dari luar negara yang kritikal ketika ini, sekali gus menyebabkan harga ubat kian meningkat.

“Saya juga tidak menolak punca kekurangan bekalan stok ubat bagi peniaga kecil seperti ini disebabkan simpanan stok. Kami hanya simpan stok untuk dua bulan saja berbanding syarikat perubatan gergasi.

“Permintaan ubat tinggi ketika Covid-19 ‘mengganas’ dalam negara telah menyebabkan harga ubat naik dan ia masih kekal pada harga tinggi disebabkan permintaan terus tinggi.

“Kita tak ada pilihan kena ambil juga kerana jenama tertentu yang pelanggan mahu. Daripada pihak pembekal pula ada yang sampai sudah tutup peniagaan kerana tidak boleh bekalkan ubat kepada kami,” katanya yang menjalankan perniagaan di Relau, dekat sini.

Ketika diminta mengulas meminjam ubat daripada rakan perniagaan lain, Alister berkata, ia tidak praktikal bagi mereka yang menjalankan perniagaan jualan ubat secara runcit.

“Kami jual kepada pelanggan dengan kuantiti sedikit jadi kalau nak pinjam simpan lama-lama nanti sampai tarikh luput atau takut nanti tak boleh nak ganti balik sebab tiada bekalan,” ujarnya. – MalaysiaGazette