Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Muktamar PAS kali ke 63 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. foto FAREEZ FADZIL, 29 APRIL 2017
PERTAMA kali ucapan dasar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menyentuh isu politik, sama ada pendiriannya yang pro UMNO mahupun desakan akar umbi mahu parti memutuskan hubungan dengan PKR.

Sepanjang ucapannya yang mengambil masa kira-kira 45 minit itu beliau lebih menekan kepada isu ekonomi rakyat, pembangunan dan pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Dalam bab ekonomi rakyat, beliau menjelaskan dunia kini mengeluh kerana dikepung dan dikongkong krisis ekonomi, politik dan moral.

“Kedengaran rungutan kezaliman di sana-sini, pencabulan terhadap hak asasi manusia, rasuah dan merebaknya pelbagai jenis jenayah dan maksiat.

“Agama pula dianggap urusan peribadi tanpa hidayah dan dipisahkan daripada urusan
dunia.

“Ekonomi negara yang diurus secara tidak adil telah mencetuskan kesusahan hidup rakyat apabila peluang pembahagian harta berpusing di kalangan orang tertentu sahaja sehingga berlakunya salah guna kuasa dan harta negara diambil secara salah,” katanya pada perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-63 di Kompleks Pas Kota Sarang Semut dekat Alor Setar, Kedah hari ini.

Ucapan Dasar Abdul Hadi kali ini dianggap terlalu ringan dan kurang menyengat, sekali gus jelas kelihatan tanda hampa dalam kalangan perwakilan yang mahu mendengar pendirian pucuk pimpinan berhubung tahaluf siyasi Pas dengan PKR.

Namun, Ahli Parlimen Marang yang berpengalaman luas mengendalikan parti itu, seperti mahu mendera mental dan fizikal perwakilan dengan ucapan ‘sejuk’nya,

Mengenai isu ekonomi, beliau menjelaskan kegagalan kerajaan hari ini mentadbir urus negara menyebabkan berlaku kebocoran pendapatan negara, sedangkan majoriti
rakyat berpendapatan rendah semakin terbeban dengan harga barangan keperluan yang makin meningkat.

Kerajaan pula mengambil penyelesaian secara mudah tanpa kajian mendalam dan menyeluruh, lalu meningkatkan kadar cukai sedia ada atau melaksanakan cukai baharu seperti GST dan apa-apa sahaja.

Maka dakwanya, berlaku kesan sampingan dengan peningkatan inflasi, kekurangan pendapatan dan sempitnya peluang pekerjaan sehingga membebankan kehidupan rakyat apabila pendapatan tidak lagi mampu menampung perbelanjaan kos sara hidup yang tinggi, tabungan terjejas, dan hutang isi rumah melebar.

“Lebih parah lagi, kadar jenayah berat yang membahayakan komuniti masyarakat semakin meningkat seperti merompak, membunuh, mencuri, menipu dan lain-lain.

“Masalah jenayah ringan seperti keruntuhan akhlak, merosakkan diri dan keluarga dianggap senarai yang dikemudiankan dan dipandang mudah. Oleh kerana negara,” ujar beliau.

Ucapan Dasar Abdul Hadi dilihat jauh berbeza dengan perasmi tiga entiti Pas iaitu Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Ahmad Yakub dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam ucaptama ketiga-tiga pemimpin tertinggi Pas ini menekankan kepada desakan pucuk pimpinan agar memutuskan hubungan dengan PKR dan menaikkan semangat ahli serta perwakilan.

Apapun, ada sesetengah pemerhati politik mengandaikan Abdul Hadi akan tampil dengan nada keras dan tegas pada ucapan penangguhannya Ahad ini.

Ianya dikatakan ada kaitan kedudukan Pas dengan PKR. – MalaysiaGazette