ADUN DAP Pasir Bedamar
Terence Naidu

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu, mendakwa ujian kedua air kencing yang dilakukan di sebuah klinik swasta – Klinik 02 di Pulau Pinang didapati negatif.

Ujian itu dilakukan pada 15 Januari lalu, sehari selepas dia dibebaskan dengan jaminan polis.

”Saya juga telahpun dimaklumkan oleh YB Terence bahawa beliau telahpun membuat ujian kedua tersebut sendiri di Klinik O2 oleh kerana beliau tidak berpuas hati dengan keputusan pertama polis yang mendapati terdapatnya kesan dadah di dalam air kencingnya.

”…dan juga oleh kerana permintaan-permintaannya kepada pihak polis untuk melakukan ujian kedua tidak dibenarkan,” kata peguamnya, Ramkarpal Singh dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Terence, kata beliau, sampel air kencing yang diambil di Klinik O2 tersebut telahpun dianalisa di makmal Pathlab dan keputusanya tiada sebarang jenis dadah dikesan di dalam air kencingnya.

Justeru, Terence telah membuat satu laporan polis susulan hari ini di IPD Seberang Perai Tengah untuk melaporkan keputusan negatif dan memohon agar siasatan lanjutan dibuat dalam perkara ini.

Berdasarkan perkembangan ini, Ramkarpal berkata, siasatan lanjut perlu diambil oleh pihak polis dengan kadar segera demi kepentingan dan keadilan kepada Terence. – MalaysiaGazette