Istana Negara ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja selepas perletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2019

PUTRAJAYA — Undang-undang baharu akan digubal untuk melindungi kesucian institusi diraja negara daripada dihina dan diserang pihak yang tidak bertanggungjawab, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata pindaan akan turut dibuat pada undang-undang sedia ada bagi tujuan yang sama.

“Sistem negara kita ialah sistem Raja Berperlembagaan. Jadi kerajaan perlu sentiasa pastikan bahawa raja-raja kita dilindungi daripada fitnah yang tidak berasas dan diserang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas majlis amanat tahun baharu 2019 Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

Liew berkata undang-undang mesti ada untuk menghukum mereka yang tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati institusi diraja negara.

“Objektifnya adalah untuk memastikan perlembagaan diraja sentiasa dilindungi daripada semua bentuk serangan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 3 ditahan hina YDPA – KPN

Dalam merumus undang-undang baharu, kerajaan akan merujuk kepada perlembagaan diraja yang diamalkan di beberapa negara Komanwel, katanya.

Liew berkata, beliau akan membawa perkara itu semasa mesyuarat beliau dengan ketua-ketua perundangan dan ketua-ketua setiausaha dari semua kementerian pada akhir bulan ini.

Mesyuarat itu juga akan melihat kepada undang-undang yang perlu dimansuhkan dan dipinda semasa sidang Parlimen 2019, katanya.

Menurut Liew, kerajaan juga berkemungkinan melihat dari segi hukuman kerana pada masa sekarang hukuman atas sesetengah kesalahan terhadap raja-raja adalah ringan.

— BERNAMA