Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan Perdana Menteri ke 10 kepada Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 NOVEMBER 2022

WALAUPUN siapa gerangan PMX telah selamat dinobatkan dan para juak-juaknya juga telah ditentu-bahagikan, cakap-cakap rakyat berkenaan keabsahan dan kestabilan kerajaan PMX masih belum menemui penghujungnya. Ini ditambah dengan kenyataan terbaru ahli Parlimen Arau berkenaan wujud usaha untuk menggoyahkan kabinet kerajaan PMX sedia ada.

Lanjutan daripada itu, isu sokongan bertindih ahli parlimen kembali menjadi bualan dan pertikaian dalam kalangan pentaksub politik sekali gus mengheret perdebatan berkenaan intipati undang-undang Anti Lompat Parti. Adakah benar undang-undang anti lompat parti cukup berbisa untuk mendisiplinkan ahli Parlimen? Untuk tidak menambahkan lagi kekusutan rakyat, semoleknya perkara ini dibincang dengan bahasa yang mudah namun tuntas, semudah dan setuntas bahasa yang digunakan dalam undang-undang anti lompat parti itu sendiri – atau setepatnya Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Dalam bahasa yang mudah, Perkara 49A(1)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang ahli parlimen akan hilang kerusi Parlimennya sekiranya dia keluar dari partinya atau pun berhenti daripada menjadi ahli partinya. Perkara 49A(2)(c) pula memperuntukkan seseorang ahli Parlimen itu tidak hilang kerusi parlimennya hanya kerana dia diusir oleh partinya. Ini dua peruntukkan utama yang wajib difahami dengan tuntas. Untuk mendapatkan pemahaman yang tuntas, peruntukkan tersebut semoleknya dihuraikan dengan merujuk situasi sebenar yang berlaku.

Untuk itu, situasi tarik tali 10 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional sesuai untuk dijadikan kes rujukan. Berdasarkan Perkara 49A, seseorang ahli parlimen tidak akan hilang kerusi parlimennya hanya kerana tidak patuh dengan arahan parti. Seseorang ahli parlimen boleh ingkar arahan parti tetapi dalam masa yang sama, memilih untuk kekal sebagai ahli parti yang sama. Kerusi parlimen kekal menjadi miliknya tanpa tergugat kerana beliau tidak keluar parti. Beliau hanya ingkar arahan parti.

Dalam situasi 10 ahli parlimen BN tersebut, diberitakan mereka pada awalnya telah memberi sokongan kepada Perikatan Nasional untuk membentuk kerajaan tanpa restu Pengerusi BN. Mereka kekal dengan BN dan tidak pernah isytihar keluar parti. Tindakan 10 ahli parlimen BN tersebut hanyalah ingkar arahan parti dan bukanlah tindakan keluar parti. Jika mereka kekal dengan pendirian mereka, kerusi parlimen yang disandang tetap kekal bersama mereka. Kesimpulan awal disini ialah, Perkara 49A semata-mata bukanlah senjata ampuh untuk menghalang ahli parlimen dari berpaling tadah.

Persoalan timbul mengapa 10 ahli parlimen BN itu pada saat akhir membuat pusingan ‘U’? Apakah tindakan mengingkari arahan parti boleh menatijahkan lucutnya atau terhentinya keahlian ahli parlimen itu dalam parti politiknya? Sedangkan dia masih mengaku bersama parti yang sama dan tidak pernah isytihar keluar parti. Jawapannya tidak, ia kerana Perkara 49A(1)(a) tidak memperuntukkan sedemikian. Keahlian parti politik bagi seseorang ahli Parlimen bukanlah dikawalselia oleh Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya oleh perlembagaan dan peraturan parti politik itu sendiri. Ia diluar skop Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan parti atau peraturan parti semestinya menetapkan tatacara bagaimana seseorang itu layak menjadi ahli parti dan bagaimana pula keahliannya boleh digugurkan. Di sinilah disiplin ahli parti dikuatkuasakan. Ahli parti boleh dipecat dari parti sekiranya melanggar perlembagaan atau peraturan parti. Atas premis ini, adakah 10 ahli Parlimen BN tersebut akan hilang kerusinya selepas dipecat oleh parti kerana melanggar perlembagaan parti? Jawapannya tidak kerana tindakan mereka melanggar perlembagaan parti hanya menatijahkan pemecatan mereka dari parti. Kerusi Parlimen yang disandang kekal dalam pegangan kerana Perkara 49A(2)(c) jelas menyatakan ahli Parlimen tidak akan hilang kerusi yang disandang hanya kerana mereka diusir dari parti mereka.

Jadi, apakah sebab musababnya 10 ahli Parlimen BN tersebut membuat pusingan ‘U’ pada saat akhir? Apakah senjata yang digunakan oleh Pengerusi BN untuk menambat kembali 10 sokongan tersebut daripada terlepas? Jawapannya mungkin disebabkan oleh akuan berkanun (atau dikenali ramai sebagai SD – statutory declaration) atau perjanjian bertulis yang telah ditandatangani oleh mereka sebelum menerima watikah pencalonan untuk bertanding dalam PRU15. Persoalan seterusnya ialah seampuh mana SD atau perjanjian bertulis itu untuk menghalang ahli parti dari berpaling tadah? Jawapannya bergantung kepada kandungan SD atau perjanjian itu sendiri.

Jika SD itu menyatakan keingkaran kepada arahan atau ketetapan parti akan menatijahkannya dianggap telah keluar parti atau terhenti menjadi ahli parti, maka SD tersebut mungkin boleh dijadikan senjata untuk melucutkan kerusi parlimennya atas alasan melompat parti atau terhenti menjadi ahli parti. Begitu juga dalam kes perjanjian bertulis. Jika perjanjian itu menyatakan sebabdan akibat yang sama, perjanjian itu mungkin boleh dijadikan senjata untuk mengawal ahli partidari berpaling tadah.

Jadi kesimpulan kedua di sini ialah, yang mengawal disiplin ahli Parlimen bukanlah peruntukkan Perkara 49A semata-mata, sebaliknya SD atau perjanjian yang dimasuki dengan partinya. Perlu ada SD atau perjanjian sebagai senjata pelengkap untuk membolehkan Perkara 49A dikuatkuasakan dengan jayanya. Akan tetapi, perlu diingat bahawa kedua-dua situasi di atas (sama ada SD atau perjanjian) kekal sekadar kemungkinan sahaja. Ia bukanlah muktamad kerana ahli politik bukanlah manusia lurus bendul dan naif seperti para pentaksubnya.

Ahli politik semestinya seorang yang LIAR (perkataan ini boleh dibaca sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris – kedua-duanya menepati maksud yang ingin disampaikan). Mereka takkan mudah mengalah. Jika tidak, bukan ahli politik namanya! Dalam situasi SD, ahli Parlimen tersebut boleh pada bila-bila masa membatalkan SD tersebut. Beliau hanya perlu sediakan satu SD baharu yang membatalkan segala akuannya dalam SD sebelumnya. SD yang baharu membatalkan dan mengetepikan SD terdahulu. Ya, semudah itu. Dalam situasi perjanjian pula, ahli Parlimen tersebut boleh sahaja mempertikai kandungan perjanjian tersebut. Apa jua alasan pertikaian boleh digunakan mengikut kreativiti peguam yang mewakilinya. Mempertikai kandungan perjanjian adalah sesuatu yang lumrah dan lazim di Malaysia mahupun di mana ceruk dunia sekalipun.

Sama seperti kes pemaju yang enggan bayar ganti rugi apabila rumah pembeli lewat disiapkan. Walaupun terpampang di depan mata projek perumahan itu terbengkalai dan di dalam perjanjian dinyatakan dengan jelas peruntukkan bayaran ganti rugi jika lewat disiapkan, pemaju tetap mempertikaikannya. Ada sahaja alasan yang direka oleh peguamnya hingga terpaksa dirujuk kepada tribunal atau mahkamah. Dalam kes 10 ahli Parlimen BN tersebut, boleh sahaja dihujahkan tindakan mereka menyokong Perikatan Nasional adalah selaras dengan ketetapan parti yang terang dan jelas iaitu “No Anwar & No DAP”. Ketetapan yang bersifat terang dan khusus tersebut mengetepikan ketetapan yang bersifat umum seperti “persetujuan memberi mandat penuh kepada Pengerusi parti untuk membuat apa-apa keputusan atas nama parti”. Sama ada alasan ini mempunyai merit atau tidak, bukanlah pertimbangannya buat masa ini.

Apa yang pasti, apabila dipertikai, pertikaian itu perlu dirujuk kepada mahkamah untuk diputuskan. Maka kerusi Parlimen tidak gugur serta-merta. Manfaat sebagai ahli Parlimen seperti emolumen kekal berjalan. Ia kekal sehinggalah mahkamah memutuskan kedudukan sebenar klausa perjanjian tersebut.

Kesimpulan akhir, undang-undang anti lompat parti bukanlah seampuh yang disangkakan. SD dan perjanjian yang kononnya boleh menjadi pelengkap kepada Perkara 49A tetap masih ada kepincangannya. Bekas Menteri Undang-Undang sendiri pernah mengakui kelompongan undang-undang ini. Itu belum dikira kelompongan dalam situasi apabila ahli parti lain bertanding atas tiket parti lain seperti yang berlaku dalam kes ahli parlimen Machang. Di mana keahlian sebenarnya? Di mana pula perlu diletakkan wala’nya? Apa yang pasti, disiplin ahli Parlimen bukan ditambat pada Perkara 49A, perjanjian atau pun SD. Disiplin sebenar terletak pada jati diri, prinsip dan integriti ahli parlimen itu sendiri. Namun, mengharapkan integriti ahli politik bagaikan bermimpi di siang hari. Ia hampir mustahil berlaku di zaman ini kerana masing-masing sibuk memenuhkan kantung tembolok sendiri.

Yusof Syahmi
Pengamal undang-undang yang gemar menilai isu dari pelbagai sudut pandang