Gambar hiasan

ALOR SETAR – Golongan tentera dan polis diramal lebih cenderung untuk mengundi Perikatan Nasional (PN) pada sesi pengundian awal, 8 Ogos lalu, kata penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub.

Ramalan itu adalah berdasarkan tinjauan menerusi video-video pendek di platform media sosial seperti Facebook dan Tik Tok, sama ada secara jelas atau tersirat memberi gambaran mereka mengundi PN.

“Saya menilai menerusi undi awal, arus gelombang yang  menjadi cakap-cakap politik sebelum ini telah terserlah secara realiti.

“Berdasarkan trend, pemerhatian saya cenderung kepada penguasaan oleh PN,” katanya hari ini.

Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya itu juga berpendapat parti-parti politik yang bertanding dilihat memerlukan formula ajaib hari terakhir berkempen hari ini untuk cuba meraih sokongan di saat saat akhir.

“Saya setuju jika mengatakan trend sama undi awal itu akan berlaku pada hari mengundi sebenar esok dengan kebanyakan pengundi dalam kalangan Melayu akan ke arah PN.

“Cuma kena betul-betul bezakan berapa peratus kaum Melayu akan keluar esok berbanding peratusan keseluruhan,” katanya.

Ilham Centre sebelum ini mendedahkan hanya satu daripada empat orang Melayu, di negeri yang mengadakan PRN esok berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Selasa lalu, seramai 72,554 anggota tentera, polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan mereka telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berkata di Kedah, jumlah peratusan keluar mengundi adalah 96.02, Terengganu (95.91), Selangor (95.87), Pulau Pinang (95.01), Negeri Sembilan (94.05) dan Kelantan (93.90).

Sementara itu, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, seramai 1,286 orang pengundi atau 95.47 peratus anggota tentera dan pasangan serta polis telah mengundi awal. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. aduss ini kajian yang “menyenakkan” ZAHID HAMIDI “bukan menyenangkan” ANWAR IBRAHIM.. MG HAPUSKAN berita ngeri ini.. tolong la

Comments are closed.