Zaliman (tengah kanan) bertukar dokumen selepas menandatangani MoU dengan Fujii Engineering yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Fujii Engineering Mitsuru Fujii yang berlangsung di MITEC baru-baru ini.

KANGAR – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan bekerjasama dengan syarikat Jepun untuk menghasilkan kenderaan elektrik bagi pasaran negara matahari terbit berkenaan.

Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Ts Dr Zaliman Sauli berkata, universiti berteraskan kejuruteraan itu melalui Pusat Kecemerlangan Automotif & Teknologi Sukan Permotoran (MoTECH) akan berkerjasama dengan syarikat Fujii Engineering yang berpengkalan dari Suzuka City, Jepun.

“Syarikat berkenaan mempunyai pengalaman dan pengkhususan dalam penambahbaikan chasis kenderaan litar seperti Ferrari 330P4 (replica) dan juga kenderaan elektrik.

“Pada 2019 syarikat Fujii Engineering mula menghasilkan dan mengkomersilkan kenderaan mobiliti peribadi elektronik,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini.

Kerjasama berkenaan dimerterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani beliau yang mewakili UniMAP manakala Fujii Engineering diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mitsuru Fujii yang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), baru-baru ini.

Menurut Zaliman, kerjasama berkenaan membabitkan bidang penyelidikan Automotif EV (kenderaan elektrik ) termasuk berkongsi kepakaran dan juga latihan industri dengan UniMAP akan mula menghantar pelajar-pelajarnya ke Fujii Engineering Jepun bagi mengikuti latihan kerja menghasilkan produk yang akan dibangunkan bersama.

Sementara itu Mitsuru Fujii berkata, beliau memilih UniMAP berikutan komitmen dan minat yang tinggi ditunjukkan oleh para penyelidik pusat kecemerlangan UniMAP dalam sukan permotoran mendorong pihaknya menjalinkan kerjasama berkenaan, sekali gus merealisasikan misi syarikat Fujii Engineering untuk mencipta kenderaan elektrik yang paling kompetetif dari pasaran melalui kerjasama itu dapat memasarkannya di Jepun serta negara-negara yang berpotensi di ASEAN.

“Kami turut mencari pelajar UniMAP yang berkebolehan dan juga menggalakkan pertukaran dan pembangunan teknologi antara jurutera Jepun dan Malaysia di samping mahu menubuhkan pangkalan untuk pembangunan kereta lumba dan sukan di Malaysia untuk kegunaan autonomi taxi-penggerak, kenderaan perladangan yang akan diusahakan antara Fujii Enginering Jepun dan MoTECH UniMAP,” kata beliau.

Terdahulu, Ketua COE Automotif UniMAP Prof Ir Ts Dr Shahriman Abu Bakar berkata, kejayaan dan pengalaman penghasilan Prototype Proton Saga Full EV, Motorsikal Hybrid Seri Perlis dan lain lain yang telah tular sebelum ini telah membuatkan Fujii Enginering Japan mahu bekerjasama menghasilkan kenderaan EV untuk pasaran Jepun dan pasaran negara Asia terpilih.

“COE Automotif UniMAP juga mempunyai beberapa projek untuk menghasilkan kenderaan elektrik untuk proses automasi dan mekanisasi industri industri perladangan untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh luar negara,” kata beliau. – MalaysiaGazette