KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan khabar baik kepada masyarakat India apabila mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta kepada RM25 juta setahun untuk Universiti AIMST mulai tahun depan.

AIMST merupakan universiti perubatan sains dan teknologi swasta di bawah Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), milik MIC di Sungai Petani, Kedah.

Ia juga merupakan permintaan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang bertujuan lebih ramai anak-anak dalam kalangan masyarakat India yang layak untuk melanjutkan pelajaran, sekali gus mengubah nasib mereka.

Selain itu, Ismail Sabri juga mengumumkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet bagi Pembangunan Kaum India.

“Menerusi Kementerian Perpaduan Negara, satu Pelan Tindakan untuk Masyarakat India (PTMI) dan akan dilancarkan dalam masa terdekat merangkumi pelbagai sasaran jangka pendek dan jangka panjang bersama agensi peneraju dan pelaksana.

“Saya juga telah bersetuju dengan cadangan daripada Tan Sri Vigneswaran supaya satu Jawatankuasa Khas Kabinet bagi Pembangunan Masyarakat India dibentuk bagi memastikan ianya dilaksanakan secara telus,” katanya pada Perhimpunan Agung MIC ke-75 di MITEC hari ini.

Ismail Sabri juga mengumumkan bantuan tunai berjumlah RM8.4 juta kepada B40 dan RM1 juta Geran Khas Prihatin (GKP) kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro tahun ini.

Selain itu sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang antara lain untuk melaksanakan program bantuan kewangan pengajian bagi komuniti India B40, program pembangunan kapasiti keusahawanan, dan juga bantuan kebajikan. 

“Sebanyak RM25 juta juga telah disediakan melalui TEKUN Nasional untuk Skim Pembiayaan Usahawan Mikro India dengan pembiayaan pinjaman mudah sehingga RM100,000 dan pada kadar faedah serendah empat peratus setahun. 

“Juga peruntukan di HRD Corp sehingga RM25 juta untuk latihan kemahiran bagi belia India B40. Kementerian Pendidikan pula akan memperuntukkan RM35 juta untuk penyelenggaraan Sekolah  Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Saya ingin maklumkan pada tahun ini kita memberikan peruntukan yang sama rata kepada setiap sekolah sama ada sekolah kebangsaan atau SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), SJKT dan lain-lain sekolah,” ujarnya. – MalaysiaGazette