DUBAI – Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini telah memberikan pelbagai kesan tidak kira negara mahupun individu itu sendiri.

Malah pelbagai cara dilakukan bagi terus membendung dan memerangi penularan wabak Covid-19 pada masa ini.

Di negara ini misalnya, segala urusan berkaitan perkahwinan mahupun perceraian telah ditangguhkan sehingga selesainya tempoh berkurung pada masa ini.

Agensi melaporkan ini kerana pihak berkuasa tidak mahu sebarang perhimpunan keluarga sehingga berlakunya penularan Covid-19 seperti mana yang sedang dilalui di 192 buah negara.

Jabatan Kehakiman Dubai membuat keputusan itu selepas mengambil kira antara beberapa langkah untuk mencegah penularan virus itu.

Hakim Mahkamah Keluarga, Khaled al-Hawsni berkata, pasangan yang sudah melengkapkan urusan rasmi perkahwinan tidak boleh mengadakan acara keraian walaupun dalam kalangan rakan dan keluarga terdekat saja.

Emiriyah Arab Bersatu (UAE) melaporkan lebih 2,000 kes korona virus atau Covid-19 dengan 12 kematian setakat ini.

Pihak berkuasa juga telah mengeluarkan perintah berkurung dengan arahan khas kepada mana-mana rakyatnya yang keluar bekerja perlu mendapatkan permit ‘keluar rumah’ atau akan dikenakan tindakan tegas jika ingkar. –MalaysiaGazette