Matawang Vietnam

HANOI – Kiriman wang ke Vietnam berjumlah AS$19 bilion pada tahun lepas, menjadikannya salah satu daripada 10 negara penerima kiriman wang tertinggi dunia, lapor media tempatan.

Jumlah kiriman wang itu meningkat hampir 5.0 peratus pada 2022 dan mungkin meningkat 3.6 hingga 4.5 peratus pada tahun berikutnya, lapor akhbar Vietnam News yang memetik laporan Bank Dunia dan Perkongsian Pengetahuan Global mengenai Migrasi dan Pembangunan.

Antara sumber kiriman wang ialah dari Amerika Syarikat yang menempatkan jumlah pendatang Vietnam terbesar, diikuti oleh Britain, Australia dan Kanada.

Sementara itu, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan China mencatatkan jumlah pekerja paling ramai dari Vietnam, menurut laporan itu.

Walaupun kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi global sejak dua tahun lalu dan inflasi yang semakin meningkat di banyak negara, aliran kiriman wang ke Vietnam kekal stabil berbanding tahun sebelumnya, kata laporan itu.

Sesetengah bank percaya aliran masuk kiriman wang yang semakin meningkat akan membantu mereka bukan sahaja memperoleh lebih banyak keuntungan daripada perkhidmatan tetapi juga meningkatkan rizab pertukaran asing, melaksanakan dasar tarikan mata wang asing Vietnam.

Bandar raya Ho Chi Minh telah menerima kiriman wang paling banyak di Vietnam dengan aliran masuk berjumlah AS$6.8 bilion tahun lalu.

Lebih daripada 5.3 juta rakyat Vietnam kini tinggal dan bekerja di 130 negara dan wilayah, menurut Jawatankuasa untuk Vietnam Luar Negara. – Agensi