Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. foto IQBAL BASRI, 25 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Yayasan Kebajikan Negara (YKN) sehingga kini mengumpul kira-kira RM800,000 sumbangan daripada orang ramai untuk Tabung Palestin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, tabung itu diwujudkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap nasib rakyat Palestin yang diserang zionis.

Katanya, beliau gembira kerana rakyat Malaysia khususnya telah menunjukkan semangat membantu dengan menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan dan derma bagi memastikan bantuan itu sampai ke Palestin.

“Rakyat kita memberi respon yang baik apabila mendengar rakyat Palestin dilanda musibah peperangan. Mereka memberi sokongan dengan menderma menerusi Tabung Palestin yang kita wujudkan.

“Bukan setakat rakyat sahaja, syarikat korporat juga turut menunjukkan usaha mereka dengan menyertai usaha kerajaan mewujudkan dana masing-masing,” katanya pada majlis perasmian e-Donation di Bangunan Axiata di KL Sentral di sini, hari ini.

Menurut Dr. Wan Azizah, beliau terharu apabila mendapat tahu Boost di bawah Axiata turut memberi kerjasama kepada YKN dengan mewujudkan e-sumbangan mereka.

Katanya, sebagai kerajaan, pihaknya telah melakukan yang terbaik untuk memudahkan inisiatif kebajikan rakyat dalam dan luar negara.

Beliau berkata, dalam tempoh setahun ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah memperuntukan kira-kira RM227 juta wang ehsan kepada 55,600 isi rumah.

Berhubung bantuan bencana alam luar negara, Dr. Wan Azizah berkata, Malaysia turut menghantar Pasukan Bantuan dan Penyelamat Bencana Khas Malaysia (SMART) ke Indonesia dalam tragedy gempa bumi dan tsunami di Sulawesi.

“Selain menghulurkan khidmat kepakaran untuk mencari dan menyelamat, kita juga menyumbangkan kira-kira RM1 juta bagi meringankan penderitaan mangsa gempa bumi dan tsunami. – MalaysiaGazette