Jamal Md. Yunos
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berpakaian hospital dibawa ambulans ketika menghadiri perbicaraan dua pertuduhan di bawah Akta Imigresen dan Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ampang Jaya, Ampang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 25 APRIL 2019

AMPANG – Mahkamah Majistret Ampang Jaya hari ini membatalkan waran tangkap ke atas Datuk Seri Jamal Md Yunos kerana gagal menghadiri perbicaraan salah satu kesnya, di sini, semalam.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menarik balik arahan itu selepas pihaknya menerima sijil cuti sakit daripada Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, melalui peguam Jamal, petang ini.

Timbalan Pendakwaraya, Intan Shakira Zakaria tidak membantah pembatalan waran tangkap itu selepas mendapati dokumen sijil cuti sakit adalah sah.

Terdahulu Peguambela, Datuk Mohd Imran Tamrin memohon mahkamah agar membatalkan waran tangkap terhadap anak guamnya yang dikeluarkan, semalam.

Mohd Imran menjelaskan, ketidakhadiran Jamal ke prosiding semalam disebabkan pemimpin UMNO Selangor itu dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri kerana demam campak.

Peguambela, Datuk Sulaiman Ismail yang mewakili Jamal dalam prosiding semalam memberitahu, beliau tidak dapat menyerahkan pengesahan bertulis doktor yang merawatnya kerana dokumen itu hanya dikeluarkan pada jam 5.15 petang semalam, selepas mahkamah ditutup.

Terdahulu, Jamal hadir ke prosiding salah satu kes di mahkamah itu hari ini dengan dibawa menaiki van ambulans dari Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, di sini.

Pemimpin NGO itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Ampang Jaya kira-kira 2.35 petang dengan diiringi kakitangan hospital yang membawa ‘water drip’ dan memakai pakaian pesakit.

Hadir sama ke perbicaraan kes Jamal hari ini ialah Pengerusi Badan Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam dan Presiden Perkasa, Datuk Dr Ibrahim Ali.

Sementara itu, Majistret Mohamad Firdaus berkata, berdasarkan rekod mahkamah, Jamal juga didapati tidak hadir beberapa kali sebelum ini tanpa alasan malah penjamin juga tidak hadir bagi memaklumkan alasan.

“Mahkamah bertindak berdasarkan ‘rule of law’ dan semua tindakan adalah terpakai kepada semua, tiada layanan istimewa diberikan,” katanya.

Majistret itu juga berkata, berdasarkan undang-undang, prosiding perbicaraan boleh diteruskan tanpa kehadiran tertuduh jika ada sebab-sebab yang istimewa.

Perbicaraan kemudian diteruskan dengan pihak pendakwaan memanggil beberapa saksi.

Semalam, Jamal dimasukkan ke wad Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Ampang, kerana menghidapi demam campak.

Sebelum ini, Jamal berdepan dengan empat pertuduhan, dua melibatkan seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan dan masing-masing satu bagi kes Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kegusaran awam dan Seksyen 224 kerana melarikan diri dalam tahanan yang sah.

Pada 26 Mei lalu, Pengerusi NGO-NGO Malaysia itu menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor pada 25 Mei lalu.

Kehilangannya disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira pukul 5.30 petang dengan pihak berkuasa mengeluarkan waran tangkap terhadap Jamal.

Jamal kemudiannya berjaya ditangkap Polis Negara Republik Indonesia (Polri) ketika sedang menggunting rambut di sebuah kedai gunting rambut di Jakarta, Selatan.

Beliau kemudiannya diekstradisi dan tiba di negara ini pada 5 Julai lalu.

Selain itu bagi kes melarikan diri ke Indonesia pula, Jamal berdepan pertuduhan keluar negara tanpa mengikuti laluan sah mengikut Seksyen 51 Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette