Director-General of Health Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. PIX: MalaysiaGazette centenarian 100 year-old Covid-19 death daily cases
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas lelaki berusia 100 tahun menjadi korban tertua Covid-19 di negara ini.

Lelaki dari Selangor itu meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, kematian ke 1,000 itu mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan asthma.

Lelaki itu antara 22 kes kematian yang direkodkan hari ini yang turut melibatkan kes kematian termuda berusia 41 tahun yang meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh yang mempunyai penyakit kencing manis, rheumatoid arthritis, dan osteoarthritis.

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan lapan di Selangor, empat di Sabah, tiga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Manakala masing-masing dua kes di Sarawak dan Perak serta satu kes di Negeri Sembilan, Kedah, dan Johor.

Kesemua kematian hari ini adalah melibatkan warganegara Malaysia.

Sebelum ini seorang bukan warganegara berusia 130 tahun meninggal dunia di Sabah ekoran positif Covid-19.

Dalam pada itu, 13 lagi kluster baharu dikesan KKM, hari ini yang melibatkan 10 kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi, dan satu kluster komuniti.

Selangor mencatatkan kluster terbanyak dengan 5 kluster iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Emas, Kluster Tapak Bina Seksyen Satu (18 kes), Kluster Jalan Rawang (42 kes) dan Kluster Jalan Subang (28 kes).

Negeri itu turut mencatarkan satu kluster kumpulan berisiko tinggi iaitu Kluster Jalan DC dengan 13 kes.

Johor mencatatkan empat kluster baru iaitu Kluster Jalan Perindustrian Murni (18 kes), Kluster Senai Murni Empat (18 kes), Kluster Jalan Persiaran Cyber (121 kes) dan Kluster Jalan Paya Manis (Kumpulan Berisiko Tinggi) dengan 39 kes.

Lain kluster adalah Kluster Pulau Rusa di Terengganu dengan 18 kes, Kluster Industri Tekstil Nilai (64 kes), Kluster Tapak Bina Jalan Sultan dengan 120 kes.

Sarawak mencatatkan satu kluster komuniti iaitu Kluster Jan Yong di Kapit dengan 15 kes. – MalaysiaGazette