P. Waytha Moorthy
P. Waytha Moorthy

SERDANG – Kerajaan memberi jaminan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak akan menjejaskan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Perpaduan Nasional dan Kesejahteraan Sosial, Senator P. Waytha Moorthy berkata, kepentingan kaum majoiriti itu tetap terpelihara.

“Tidak sama sekali (terjejas kepentingan), saya dah nyatakan dengan jelas ianya tidak akan menjejaskan peruntukan Perlembagaan negara.

“Sekiranya ia dipersetujui atau ratifikasi pun, kita boleh letakkan reservation kepada terma-terma tersebut,” katanya kepada pemberita yang ditemui di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

MGF08112018_BUKU PEMBANGUNAN KONTEMPORARI ORANG ASLI_02
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P. Waytha Moorthy berucap pada Pelancaran Buku Pembangunan Kontemporari Orang Asli di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 08 NOVEMBER 2018

Beliau mengulas kebimbangan Gabungan NGO-NGO Ummah yang mengadakan perhimpunan aman di Parlimen bulan lalu yang membantah ratifikasi ICERD didakwa boleh menjejaskan Perkara 153 Perlembagaan.

Waytha Moorthy juga mempertahankan usahanya itu seperti mana yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Ini adalah hasil daripada manifesto PH sendiri di mana salah satunya ialah menandatangani konvensyen berhubung akta hak asasi manusia antarabangsa.

“Semuanya akan bergantung kepada maklum balas daripada rakyat,” katanya.

Ditanya tentang pendirian Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu menolak ICERD jika menjejaskan Perlembagaan, Waytha Moorthy bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tak mahu komen,” katanya. – MalaysiaGazette