Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke mahkamah bagi prosiding kes rasuah Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 10 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Prosiding rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini di peringkat pembelaan ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Sepatutnya hari ini bermula prosiding pembelaan yang telah dijadualkan selama 27 hari oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Penangguhan itu berikutan adanya perkembangan terbaru dengan Ahmad Zahid telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) mengandungi fakta dan bukti baharu dalam usaha menggugurkan 47 pertuduhan terhadapnya.

Mahkamah diberitahu hari ini, peguam mewakili Ahmad Zahid, Hamidi Mohd. Noh, pihaknya telah menghantar representasi melebihi 200 muka surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Jelas Hamidi, ianya mengandungi asas untuk pertimbangan agar pertuduhan yang dihadapi oleh Ahmad Zahid digugurkan.

Pembelaan kemudian memohon penangguhan terhadap 16 tarikh perbicaraan yang telah dijadualkan sebelum ini sementara menunggu Peguam Negara memberi maklum balas terhadap representasi tersebut.

Hakim Collin Lawrence yang kini Hakim Mahkamah Rayuan kemudian melapangkan tarikh-tarikh perbicaran sepanjang bulan ini hingga Julai kepada 1 Ogos depan bagi keputusan berkaitan representasi tersebut.

Dalam pada itu, ketika prosiding juga, pasukan pendakwaan juga telah menyatakan persetujuan mereka untuk menangguhkan perbicaraan ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau mendapat arahan daripada Peguam Negara agar tidak membantah terhadap permohonan penangguhan oleh pihak pembelaan.

Malah kata Abdul Malik, pihaknya memerlukan masa yang mencukupi bagi meneliti representasi panjang lebar melebihi 200 muka surat yang mengandungi isu kompleks berkaitan pertuduhan.

Difahamkan dokumen representasi itu mengandungi beberapa peringkat itu pertama kali dihantar kepada Peguam Negara pada Januari lalu dan selanjutnya pada akhir Februari lalu.

Selain itu, mahkamah turut didedahkan hari ini representasi itu turut disertai surat bertarikh 20 Februari lalu daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

SPRM memaklumkan agensi itu melakukan siasatan lanjut terhadap fakta dan bukti baharu yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Ketika ini, Ahmad Zahid sedang berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. macam mudah juga Undang-undang Malaysia ni kan…
    nitizen ada kata SEBABNYA banyak duit
    ada juga yang kata SEBABNYA ada KUASA
    tapi nitizen ramai kata SEBABNYA tutt tutt tutt
    tidak PASTI mana yang berkaitan
    aq tak faham sangat lanjutan perbicaraan.
    cuma beza janggal camner dorang semua yang terlibat buat kerja?
    tidak cukup bukti dibawa ke mahkamah!
    nasib baik tertuduh mampu menampong Bayaran Peguambela…
    Kes dianiaya ni…

Comments are closed.