KUALA LUMPUR – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) kini membuka permohonan bagi Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Pensijilan Profesional kepada warganegara Malaysia berumur 18 – 40 tahun.

Bagi program pembiayaan bidang TVET di bawah Peneraju Skil Iltizam, pemohon yang berminat hanya perlu memenuhi syarat asas utama 4M iaitu boleh membaca, menulis, mengira dan mempunyai minat.

Mereka yang layak akan mendapat tajaan sepenuhnya dari Yayasan Peneraju sepanjang latihan merangkumi pembiayaan yuran pengajian, penginapan dan elaun sara hidup.

Bergantung kepada prestasi penerima faedah sepanjang tempoh program, penempatan pekerjaan juga disediakan selepas tamat program.

Program Peneraju Skil Iltizam yang sedang dibuka untuk permohonan adalah seperti
berikut:

1. Peneraju Skil Iltizam Insulation Pipe Gas dengan usahasama Ranaco Marine.
2. Peneraju Skil Iltizam Juruteknik Peralatan Berputar dengan usahasama Serba Dinamik.
3. Peneraju Skil Iltizam AAT Advanced Diploma In Accounting with Cloud Accounting Certification dengan usahasama System and Skills Training Concept.
4. Peneraju Skil Iltizam Boilerman dengan usahasama Sunrise International College.
5. Peneraju Skil Iltizam Automotive Electrician Technician dengan usahasama Naza Academy.
6. Peneraju Skil Iltizam Juruteknik Pemesinan CNC, Peneraju Skil Iltizam Industrial Automation, Peneraju Skil Iltizam Fabrikasi Logam & Peneraju Skil Iltizam Jaminan Kualiti dengan usahasama Kulim Advanced Technologies.

Sementara itu, bagi program Peneraju Skil (upskilling), Yayasan Peneraju menawarkan permohonan bagi program Peneraju Skil Data Engineer menerusi jalinan usahasama dengan PEOPLElogy dan menawarkan kemudahan pembiayaan pengajian kepada penerima faedah.

Program Peneraju Skil Data Engineering ini menyasarkan golongan bekerja yang berumur sehingga 40 tahun yang mencari peluang untuk menjadi tenaga kerja profesional di dalam bidang Big Data.

Di bawah program ini, penerima faedah berpeluang untuk meningkatkan kemahiran mereka atau ‘upskill’ ke peringkat yang lebih tinggi menerusi pensijilan bertaraf antarabangsa.

Syarat permohonan adalah pemegang Diploma dan ke atas dalam bidang berkaitan dengan sekurang-kurangnya satu tahun pengalaman bekerja di dalam bidang data engineering.

Selain itu Yayasan Peneraju membuka permohonan bagi program pensijilan profesional yang mensasarkan golongan yang ingin menceburi bidang profesional dan golongan yang mahu mengembangkan kerjaya mereka.

Antara pensijilan profesional yang ditawarkan di bawah program pembiayaan ini adalah seperti Certified Accounting Technician (CAT), Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Certified Public Accountant Australia (CPA Australia), The Malaysian Institute of Certified Public Accountants – Chartered Accountants Australia and New Zealand (MICPA-CAANZ), Chartered Financial Analyst (CFA), Financial Risk Manager (FRM) dan Data Scientist.

Buat masa ini, program yang dibuka adalah Peneraju Profesional Akauntan Kategori B (ACCA) untuk lepasan CAT dan pemegang Diploma berumur 22 tahun ke bawah. Program berikutnya adalah Peneraju Profesional Akauntan Siswazah (ACCA) untuk pemegang Ijazah Sarjana Muda berumur 25 tahun ke bawah.

Peneraju Profesional Data Saintis turut dibuka dengan syarat mempunyai Diploma dan ke atas dalam bidang berkaitan dengan sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman bekerja dan tidak melebihi had umur 40 tahun.

Bergantung kepada program, penerima faedah akan menerima kemudahan pembiayaan yang disediakan oleh Yayasan Peneraju merangkumi yuran pengajian, yuran langganan tahunan, yuran pendaftaran, yuran peperiksaan, elaun sara diri dan kemudahan tempat tinggal.

Maklumat lanjut mengenai permohonan, syarat-syarat kelayakan dan tarikh permohonan boleh didapati menerusi www.yayasanpeneraju.com.my. – MalaysiaGazette