Home Dunia Yingluck dilihat merentasi sempadan Kemboja

Yingluck dilihat merentasi sempadan Kemboja

BANGKOK – Konvoi yang dipercayai membawa bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra kali terakhir dilihat melalui pos pemeriksaan tentera dekat sempadan dengan Kemboja, kata ketua pemimpin junta.

Perdana menteri wanita pertama Thailand yang kerajaannya digulingkan oleh tentera pada tahun 2014, didapati hilang pada 25 Ogos lalu semasa mahkamah mahu memutuskan keputusan perbicaraan ke atas beliau.

Yingluck tidak hadir ke mahkamah tetapi terdapat spekulasi meluas mendakwa beliau bersama abangnya, Thaksin, di Dubai.

Thaksin juga dijatuhkan dalam rampasan kuasa pada tahun 2006.

Junta Thailand berkata, pihaknya tidak menyedari bahawa Yingluck merancang untuk melarikan diri – sesuatu yang para penganalisis dan ramai orang Thailand sukar untuk percaya memandangkan Yingluck sering melahirkan rasa tidak puas hati tentang pengawasan sepanjang masa terhadapnya.

Ketua Junta, Jeneral Prawit Wongsuwon berkata, konvoi Yingluck kali terakhir dilihat pada rakaman kamera litar tertutup di pusat pemeriksaan tentera di wilayah Sa Kaeo, yang bersempadan dengan Kemboja.

Ia merupakan pengesahan rasmi yang dibuat oleh pihak berkuasa tentang kehilangan Yingluck.

Junta dan para pegawai dari Parti Pheu Thai telah memberikan maklumat bertentangan mengenai kehilangan Yingluck.

Seorang pegawai kanan tentera percaya Yingluck terbang terus ke Singapura dengan pesawat peribadi dan kemudian ke Dubai.

Orang dalam parti pula berkata, Yingluck mungkin memandu atau menaiki bot ke Kemboja dan kemudian terbang dengan pesawat peribadi ke Singapura dan ke Dubai.

Kerajaan Phnom Penh belum membuat sebarang kenyataan mengenai perkara itu. – MalaysiaGazette