Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad beramah mesra bersama Pengamal Perubatan Am Swasta (GPs) selepas Sesi Town Hall Menteri Kesihatan Malaysia bersama Pengamal Perubatan Am Swasta (GPs) di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 11 JUN 2019.

PUTRAJAYA – Pesakit perlu membuat bayaran lebih ketika mengunjungi klinik swasta di seluruh negara apabila yuran konsultasi dimuktamadkan dan bakal dilaksanakan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau akan membentangkan cadangan untuk pindaan bayaran bagi pengamal perubatan am (GP) swasta ke Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara sebelum mendapat sokongan Kabinet.

“Ia memerlukan masa sebelum sebarang keputusan diambil,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi Town Hall bersama pengamal perubatan swasta, di sini, hari ini.

Menurut Dzulkefly, keputusan itu mungkin dibuat berikutan tekanan daripada pengamal perubatan swasta di seluruh negara yang menyatakan yuran perundingan semasa antara RM10 dan RM35 yang diambil pada masa ini adalah terlalu rendah.

Mereka menegaskan bahawa perkara itu telah berlarutan tanpa sebarang perubahan sejak lebih 27 tahun.

Pengamal perbuatan swasta menuntut bayaran itu ditambah dan dibuat selaras dengan harga yang dikenakan oleh hospital swasta sejak 2013, iaitu antara RM30 hingga RM125.

Dalam pertemuan hari ini, Lebih 826 pengamal perubatan swasta menghadiri sesi Town Hall yang berlangsung selama empat jam bermula pukul 2.30 petang.

Banyak perkara disuarakan oleh pengamal perubatan berkenaan yang menjurus kepada masa depan perkhidmatan mereka bagi membantu khidmat di hospital dan klinik kerajaan. – MalaysiaGazette