Hanya dua negeri kadar zakat fitrahnya bawah RM7.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bermula esok, pembayaran zakat boleh dibuat melalui platform e-dagang, Shopee, satu lagi medium pembayaran zakat disediakan Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) untuk memudahkan pembayar.

PPZ-MAIWP dalam kenyataannya berkata, melalui platform itu, pelanggan Shopee boleh membuat bayaran pelbagai jenis zakat, termasuk zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, saham dan zakat emas dan perak serta zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Pembayaran zakat di platform Shopee boleh dilakukan menerusi dompet mudah alih ShopeePay, kad debit, perbankan dalam talian dan pembayaran secara tunai di kaunter 7-Eleven.

“Pengguna juga boleh membayar zakat melalui Deals, Top-ups & Bills dalam aplikasi Shopee dengan mengikuti langkah-langkah yang mudah,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bagi merancakkan kempen bayaran zakat, Shopee turut mengadakan kempen zakat bermula 22 hingga 31 Disember yang menawarkan 200 syiling Shopee kepada 1,000 pembayar zakat terawal setiap hari.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, PPZ-MAIWP sentiasa menyediakan perkhidmatan saluran bayaran yang terbaik mengikut teknologi serta peredaran semasa agar urusan pembayaran zakat dilakukan dengan lebih mudah dan cepat.

“Kami telah menyaksikan perbezaan yang ketara daripada segi jumlah pembayar zakat yang membuat bayaran melalui saluran dalam talian pada tahun ini disebabkan oleh penularan wabak Covid-19.

“Melalui kerjasama dengan Shopee, kami yakin bahawa pembayaran akan diuruskan dengan telus dan selamat,” katanya. – MalaysiaGazette