Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat akhirnya membenarkan kesemua Ahli Parlimen memasuki dewan untuk mendengar perbentangan belanjawan 2021.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pantas bangun dan memohon agar kesemua Ahli Parlimen dibenarkan untuk mendengar perbentangan Belanjawan 2021, hari ini.

“Saya mohon untuk pertimbangan Speaker sebab saya faham apa yang berlaku dengan laporan KKM dan MKN terhadap semua sekatan telah dilakukan dan ini sesi yang penting untuk khusus untuk mendengar ucapan Belanjawan daripada Menteri kewangan untuk Speaker memberikan ruang kepada Ahli-ahli Parimen hadir menunggu diluar untuk masuk ke dalam dewan.

“Alasannya kalau terlalu berat atas kesihatan, semalam semua kita boleh bersidang dalam jangka waktu yang panjang.

“Dalam masa dua jam saya tidak fikir akan menjejaskan kesihatan, saya mohon pertimbangan kelulusan Speaker tangguhkan lima minit untuk Ahli-ahli Parlimen untum keluar dan masuk dewan,” soal Anwar.

Perkara itu disokong Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin yang berkata ia adalah cadangan yang baik dan perlu dipenuhi yang Dipertua Dewan Rakat, Datuk Azhar Azizan Harun.

“Saya rasa ini cadangan yang paling baik dan saya sokong kerana rakan saya di sebelah sana memikirkan tentang bajet ini amat penting bagi kita wakil rakat mendengar dengan teliti,” sokong Bung Mokhtar.

Azhar kemudiannya berkata, larangan itu sudah dimuktamadkan dalam mesyuarat beliau bersama-sama dengan ketua whip daripada kedua-dua pihak kerajaan mahupun pembangkang.

“Saya rasa perkara ini telah dibincangkan dan diperhalusi oleh semua Ketua Wrip dan telah dipersetujui. Maka saya rasa perlulah kita mengikuti konsensus itu,” jelas Azhar.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahmah bingkas bangun dan berkata, perkara sama telah dilalukan semalam dengan semua Ahli Parlimen dibenarkan untuk memasuki dewan semalam.

“Saya rasa kita boleh benarkan lagi Ahli Parlimen masuk ke Dewan dan pastikan penjarakan cukup,” kata Tajuddin.

Azhar Azizan kemudiannya bertanyakan kepada semua Ahli Parlimen supaya perkara itu dibenarkan.

“Boleh saya bertanyakan pendapat Ketua Wrip?,” tanya Azhar.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, cadangan itu perlu diluluskan kerana perbentangan bajet 2021 adalah amat penting kepada Ahli Parlimen.

“Saya harap keputusan ini dipertimbangkan hanya untuk satu hari kerana Bajet adalah perkara penting,” katanya.

Nada sama dizahirkan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.

“Apa salahnya kita benarkan semua masuk, bukan lama sampai lebih kurang tiga jam sahaja. Semua nak dengar perbentangan bajet hari ini, ini bertentangan dengan prinsip demokrasi,” katanya.

Beberapa minit kemudian, Azhar akhirnya bersetuju dengan desakan itu.

“Saya jemput Ahli Parlimen yang lain untuk masuk dewan, kalau boleh masuk sekarang,” arah Azhar. – MalaysiaGazette