Lawatan industri ke pusat penyembelihan Alliance Group Smithfiel.

AUCKLAND – Seramai 9 orang pelajar dari Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai program mobiliti Spectacular Scientist Journey : Exploring New Zealand yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains (FaSSA), UPM baru- baru ini.

Program mobiliti yang berlangsung selama 14 hari bermula 2 Ogos hingga 16 Ogos 2023 ini  memberi pendedahan kepada mahasiswa melalui pelaksanaan aktiviti yang merangkumi elemen akademik, jelajah ilmiah, lawatan industri, kebudayaan dan dakwah bersama mahasiswa dan komuniti di New Zealand.

Program mobiliti ini berkolaborasi bersama Education Malaysia Global Service (EMGS) serta dua buah universiti terkemuka di New Zealand iaitu University of Canterbury (UC) dan University of Otago (UO).

Program ini turut menerima tajaan daripada Fakulti Sains UPM, Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM, Putra International Centre (i-Putra), Education Malaysia Global Services (EMGS), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Menteri Besar (MB) Johor, Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) serta beberapa syarikat swasta seperti Vertico Sdn. Bhd. dan Ukiran Laser Sdn. Bhd.

Sepanjang program berlangsung, elemen akademik merupakan aktiviti utama yang dilakukan yang mana para pelajar berpeluang mengikuti sit in class session dan campus tour di University of Canterbury dan University of Otago.

Peserta dapat merasai sendiri pengalaman berada di dalam kelas bersama mahasiswa di universiti tersebut di samping dapat melihat persekitaran dan suasana kehidupan di kampus.

Selain itu, delegasi UPM turut melakukan beberapa lawatan berkonsepkan Jelajah Ilmiah antaranya di New Zealand Marine Studies Centre, Portobello, sebuah stesen penyelidikan sains marin yang mempamerkan hidupan marin tempatan dan menawarkan pendidikan marin untuk semua peringkat umur serta kemudahan yang canggih dan lengkap untuk tujuan penyelidikan.

Peserta juga mengunjungi Willowbank Wildlife Reserve, Christchurch, sebuah taman hidupan liar yang mempamerkan pelbagai spesies haiwan dan menjalankan pemuliharaan spesies asli.

Pelajar dapat merasai sendiri pengalaman melihat dan berinteraksi dengan spesies asli seperti burung Kiwi dan Kea.

Di samping itu, lawatan industri ke pusat penyembelihan Alliance Group Smithfield, Timaru bagi melihat proses penyembelihan yang mengikuti standard piawaian halal juga turut dijalankan.

Para pelajar juga berpeluang mengikuti aktiviti kebudayaan yang dijalankan bersama Te Akatoki Māori Students Association bagi mendalami budaya kaum peribumi Māori di New Zealand.

Mereka turut berbesar hati mempersembahkan tarian dan nyanyian dalam bahasa Māori, Te Reo Māori. Lebih istimewa lagi, persembahan Kapa Haka yang disajikan adalah salah satu daripada tradisi orang Māori untuk menyambut tetamu istimewa.

“Kami berpeluang belajar dan bermain permainan warisan orang Māori iaitu Māori stick games atau dikenali sebagai Tī tī tōrea di mana pemain perlu membaling dan menangkap tongkat kayu sesama pemain secara berirama dan serentak.

Aktiviti kebudayaan bersama komuniti iaitu Operation Friendship UC turut dijalankan, di mana pelajar berkesempatan untuk mempelajari cara penyediaan dan merasai scone iaitu sejenis roti yang berasaskan tepung oat yang dihidangkan ketika sarapan pagi di New Zealand.

“Satu kelainan pengisian telah diterapkan dalam program mobiliti kali ini iaitu aktiviti dakwah melalui pendekatan street dakwah telah dijalankan di sekitar bandar Queenstown melalui kaedah mendekati beberapa individu secara rawak dan memberikan sedikit perkongsian berkenaan ilmu agama Islam.

“Perserta turut berpeluang melawat Masjid An-Nur Canterbury Islamic Centre di Christchurch dan mendengar kronologi peristiwa hitam yang berlaku di masjid tersebut pada tahun 2019 yang meragut 51 nyawa,” menurut Siti Fatimah Azman, Eksekutif Publisiti, Program mobiliti Spectacular Scientist Journey:Exploring New Zealand.

Pengarah program, Nor Izwan Hakimi berkata, program ini telah membuka minda para pelajardan meningkatkan kemahiran insaniah kepada tahap yang baik yang secara tidak langsung dapat menghasilkan mahasiswa bermutu tinggi. – MalaysiaGazette