Seorang kanak-kanak leka bermain gajetnya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Gambar arkib

HARI ini telah menjadi trend ibu bapa menggunakan gajet dalam percubaan terdesak untuk menenangkan anak yang sedang tantrum. Hari ini juga menjadi kebiasaan untuk anak-anak tidak kira anak besar atau anak kecil tekun menghadap gajet di restoren, dalam kenderaan mahupun dimana saja. Seiring dengan peredaran zaman, rentak kehidupan anak-anak juga telah berubah 360 darjah. Kanak-kanak dahulu, pantang ada peluang akan keluar bermain dengan rakan-rakan di luar rumah.

Sebaliknya, kanak-kanak zaman kini lebih selesa terperuk dalam rumah bersama gajet. Tampak mendamaikan, ibu bapa tidak perlu risau keselamatan anak di luar rumah, ibu bapa tidak perlu penat mengemas rumah, ibu bapa tidak perlu meluangkan masa menjawab pelbagai persoalan anak, ibu bapa tidak perlu melabur untuk membeli alat permainan. Cukup lah sekadar menyediakan handphone sebesar tapak tangan, anak-anak akan duduk diam dan sibuk dengan dunia digital mereka.

Walaupun teknologi digital memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian dan menjadikan hidup lebih mudah, ibu bapa harus mempertimbangkan serta mengambil endah kesan peranti teknologi ini terhadap perkembangan anak-anak. Di era teknologi kini, ilmu pengetahuan kian tersebar dengan pantas dan segala informasi dapat diakses bila-bila masa sahaja termasuklah berkaitan dengan kesan digital terhadap anak-anak. Tambahan lagi, wujudnya kajian-kajian serta penerokaan tentang ilmu perkembamgan kanak-kanak oleh pakar-pakar telah memberi santapan ilmu yang luas kepada ibu bapa khususnya. Justeru, boleh dikatakan ibu bapa sedia maklum tentang kesan baik dan buruk daripada penggunaan digital kepada anak-anak.

Namun, ibu bapa seolah-olah tiada pilihan dan terdesak. Dengan memberikan gajet kepada anak-anak adalah langkah yang paling cepat dan pantas untuk memastikan anak kekal di depan mata, anak berhenti daripada mengamuk, tidak kurang juga dapat makan di restoren dengan aman. Sehinggakan, ibu bapa sendiri sudah lupa apa yang dilakukan bersama anak dalam situasi tersebut ketika mana kehidupan tanpa dipengaruhi oleh gajet. Ayuh, sama-sama kita membuat refleksi.

Sebenarnya, tanpa disedari dalam situasi sedemikian lah ibu bapa mengaplikasikan kemahiran keibubapaan secara optimum. Ibu bapa menggunakan masa tersebut untuk menyantuni, memahami, berborak, melayan anak-anak. Malah, ibu bapa lebih kreatif dan berusaha terlibat dan melibatkan diri dengan anak untuk memastikan anak-anak terkawal atau selamat. Secara tidak langsung telah mengeratkan lagi hubungan ibu bapa-anak.

Namun, hari ini kebanyakan usaha tersebut telah diambil alih oleh gajet. Penulis yakin dan percaya, para ibu bapa tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan memandangkan digital adalah menjadi sebahagian daripada kehidupan. Seperti yang penulis selalu tekankan dalam artikel sebelum ini, teknologi digital bukanlah sesuatu yang negatif
bahkan sangat positif terhadap perkembangan kanak-kanak, namun perlu disulami dengan peranan ibu bapa. Di sini, penulis kongsikan ‘3s’ (seimbang, sempadan, sesama) iaitu peranan ibu bapa yang perlu berjalan seiring ketika membenarkan anak-anak bersama gajet.

Gajet melekakan

Penggunaan gajet atau teknologi digital yang berlebihan dan juga yang terlalu disekat akan memberi kesan negatif kepada perkembangan anak-anak. Beraktiviti bersama teknologi digital merupakan aktiviti yang menyeronokkan dan melekakan. Anak-anak sanggup menahan lapar semata-mata ingin meneruskan aktiviti. Tidak kurang juga ada yang sanggup bersengkang mata hingga lewat malam, menghabiskan duit. Kesannya terserlah melalui tingkah laku seperti menipu, ponteng sekolah, hilang fokus dan banyak lagi. Sebaliknya, jika terlalu disekat pula, kanak-kanak akan ketinggalan, kurang keyakinan diri, kurang motivasi.

Ini kerana, teknologi digital boleh memperkasakan perkembangan anak-anak dengan alatan yang membantu kanak-kanak belajar dengan cara yang menyeronokkan dan menarik serta menyerlahkan kreativiti mereka. Anak-anak yang celik teknologi juga akan lebih bersedia untuk terlibat dalam dunia pekerjaan pada masa akan datang yang kebanyakannya memerlukan kemahiran digital. Justeru, keseimbangan diperlukan bagi memastikan kesejahteraan hidup anak-anak.

Perlu ada sekatan

Amat penting untuk ibu bapa meletakkan sempadan serta peraturan sebagai usaha mengawal penggunaan teknologi digital anak-anak. Walaubagaimana pun, peraturan yang dibuat mestilah seimbang dan tidak terlalu disekat. Antaranya adalah dengan menetapkan masa. Namun, had masa juga perlu bersesuaian dengan peringkat umur anak. Contohnya, bagi anak-anak kecil bawah 2 tahun tidak dibenarkan sama sekali terdedah dengan gajet, anak-anak bawah lima tahun hanya dibenarkan tidak melebihi 2 jam sehari, manakala bagi anak remaja dihadkan dalam tempoh 3-4 jam sehari. Penggunaan gajet juga perlu diharamkan ketika bersama dengan orang ramai, bagi memastikan perhubungan sosial berlaku. Sempadan yang ditetapkan juga perlu hadir bersama hukuman yang telah disepakati jika perlanggaran berlaku.

Tanggungjawab ibu bapa

Penglibatan ibu bapa dalam aktiviti digital anak-anak mempengaruhi kesan yang diterima oleh anak-anak. Ibu bapa harus akur anak-anak generasi alpha ini memiliki ciri yang unik, jadi carilah titik persamaan dengan menerokai minat anak-anak seterusnya cuba untuk memahami dan turut sama terlibat dalam minat tersebut. Tidak salah untuk ibu bapa belajar daripada anak-anak mengenai dunia digital, yang sebenarnya boleh membuka ruang komunikasi yang berkesan antara ibu bapa-anak disamping meningkatkan rasa autonomi dalam diri mereka. Adalah merupakan suatu kejayaan yang besar kepada ibu bapa jika anak-anak mampu untuk berkongsi apa jua kandungan yang terima daripada teknologi digital kepada ibu bapa mereka. Selain itu, ibu bapa digalakkan untuk ‘interrupt’ bagi mewujudkan interaksi secara nyata dengan anak-anak ketika mereka bersama gajet contoh bertanyakan bagaimana bunyi binatang dalam movie yang ditonton oleh anak.

Semoga, para ibu bapa dapat merebut kembali kuasa yang ada setelah bersaing dengan gajet yang kian menjuarai hati anak-anak. Wallahualam.

Oleh: Dr Nor Hamizah bt Ab Razak
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling
Universiti Sains Islam Malaysia