WASHINGTON – Calon Presiden Parti Demokratik, Michael Bloomberg akan menjual syarikat maklumat kewanga, Bloomberg LP yang menjadikan beliau seorang jutawan sekiranya berjaya menawan White House pada November ini.
Perkara tersebut disahkan oleh pasukan kempennya pada Selasa.
Bloomberg akan muncul pada debat pertama pilihan raya pada Rabu ini di Las Vegas.
Parti Demokrat sedang bersaing untuk mendapatkan hak untuk mencabar Presiden Republikan Donald Trump dalam pilihan raya pada 3 November ini.
Bekas Datuk Bandar New York itu pernah berkata sebelum ini, yang beliau mungkin akan menjual Bloomberg LP sekiranya dipilih sebagai Presiden.
“Jika dipilih sebagai Presiden, Mike akan menjual syarikat tersebut,” kata jurucakap kempen, Galia Slayen.
Bloomberg LP menyediakan maklumat kepada firma-firma di Wall Street sebagai tambahan kepada berita dan dianggarkan menjana pendapatan lebih AS$10 bilion pada 2019.
Ia dimiliki secara persendirian oleh Bloomberg sendiri sejak ditubuhkan pada 1981.
Menurut pasukan kempennya, proses penjualan syarikat akan dimulakan dengan meletakkan firma tersebut dalam satu tabung (blind trust) sebelum dijual.- MalaysiaGazette