Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit terus merosot dengan dibuka lebih rendah pada paras RM4.4 berbanding dolar Amerika Syarikat, iaitu terendah sejak Mac 2020 berikutan pendirian Rizab Persekutuan AS yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah, selain mengetatkan dasar monetarinya.

Pada 9.19 pagi, mata wang tempatan berada pada paras 4.4050/4080 berbanding dolar AS daripada nilai penutup pada Rabu 4.3960/3975.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ia adalah cerminan ketidaktentuan ekonomi yang kian meningkat dan dalam konteks semasa ia adalah mengenai prospek kadar faedah lebih tinggi di AS dan prospek inflasi.

“Kadar inflasi yang lebih tinggi memberi kesan kepada sektor pengguna kerana kos perniagaan meningkat, sekali gus menjejaskan margin keuntungan.

“Rizab Persekutuan AS turut tegas dengan kempen kenaikan kadar faedah yang mungkin boleh mencetuskan aktiviti ekonomi lebih perlahan pada satu ketika masa hadapan,” katanya.

Pada Selasa, Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell berkata, pihaknya akan terus menaikkan kadar faedah sehingga inflasi turun.

Mohd Afzanizam berkata, bank-bank pusat utama juga kemungkinan mengetatkan cengkaman ke atas dasar monetari kerana inflasi tampak berleluasa.

“Jadi bank pusat utama benar-benar berada di tempat yang sukar kerana ia perlu menimbang antara tekanan inflasi yang meningkat dan memastikan pertumbuhan ekonomi kekal teguh,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, larangan eksport produk berkaitan agromakanan oleh bidang kuasa tertentu dijangka meningkatkan tahap tekanan inflasi.

Ringgit bagaimanapun didagangkan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nilai mata wang tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1693/1717 berbanding penutupan Rabu pada 3.1713/1728; lebih tinggi berbanding euro kepada 4.6200/6231 daripada 4.6268/6284 dan kukuh berbanding pound Britain kepada 5.4406/4443 daripada 5.4554/4573.

Bagaimanapun nilai ringgit menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.4269/4295 daripada 3.4041/4055. – MalaysiaGazette