AME 2020 akan berlangsung pada 12 April di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pukul 9 malam.

KUALA LUMPUR – Penularan pandemik Covid-19 yang semakin serius di negara ini turut memberi kesan kepada industri hiburan apabila penganjuran acara tahunan Anugerah MeleTOP Era (AME) 2020 yang dijadualkan berlangsung pada 12 April di Axiata Arena, Bukit Jalil akan ditunda ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kemudian.

Menerusi satu kenyataan, pihak penganjur memaklumkan keputusan itu merupkan satu usaha proaktif dan langkah berjaga-jaga bagi membendung penyebaran wabak tersebut disamping memastikan keselamatan semua pihak yang terlibat.

Langkah ini juga sejajar dengan pengumuman yang dibuat pihak Kerajaan untuk menangguhkan sebarang perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan sehingga 30 April 2020.

Selain itu, faktor-faktor lain seperti ketersediaan lokasi dan kesesuaian tarikh para selebriti tanah air juga perlu dipertimbangkan.

Sementara itu, sesi undian fasa kedua untuk mengundi senarai Top 5 bintang kegemaran yang telah dibuka sejak 3 Mac tetap akan diteruskan seperti biasa.

Peminat boleh terus mengundi menerusi laman web rasmi AME 2020 iaitu di www.anugerahmeletopera.com.my dan aplikasi SYOK serta melalui kiriman SMS hingga 12 April 2020, jam 12.00 tengahari.

Kiraan penuh undian untuk penganjuran AME 2020 juga akan terus dibuat sejurus selepas talian undian ditutup mengikut perancangan asal. – MalaysiaGazette